SHAH ALAM 1 Mac: Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan penjara enam tahun dan denda RM400,000 terhadap anggota parlimen Sabak Bernam Abdul Rahman Bakri.
Wakil rakyat BN itu didapati bersalah atas lapan tuduhan berhubung kesalahan membuat tuntutan palsu berjumlah RM80,000.
Hakim Azhaniz Teh Azman menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 untuk setiap kesalahan.
Abdul Rahman didapati bersalah melakukan perbuatan itu ketika menjadi ADUN Sungai Air Tawar, empat tahun lalu, lapor Bernama.
Beliau juga dihukum penjara setahun sekiranya gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.
Hakim mengarahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.
Abdul Rahman, 47, diperintah membela diri Jun tahun lepas atas tuduhan menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat Adun mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti yang tidak pernah dijalankan.
Tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah, cendera mata dan jamuan Program Motivasi Pelajar Peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum Perdana Peringkat Mukim BNO; Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas.
Abdul Rahman didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam antara 21 Jan dan 12 Feb, 2008.
Bagi setiap pertuduhan, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu di mahkamah sama, pembantu Abdul Rahman, Rosli Busro, 44, dikenakan hukuman sama iaitu penjara enam tahun dan denda RM400,000 kerana bersubahat dengannya untuk melakukan kesemua kesalahan itu.
Wife Of Sultan Makes Her Demand For Cash
2 weeks ago
No comments:
Post a Comment