SEMARAK REFORMASI

PANJI KEADILAN

Monday, June 20, 2011

Konvensyen Pilihan Raya KEADILAN bukti politik matang

SHAH ALAM: Konvensyen Pilihan Raya KEADILAN yang pertama kali diadakan semalam, membuktikan parti itu kini sudah melangkaui politik matang, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

Ini kerana katanya, penganjuran konvensyen pilihan raya seumpama itu hanya dilakukan oleh parti politik di negara-negara maju yang memiliki tahap demokrasi yang tinggi.

“Perkara ini biasa dilakukan negara yang mengamalkan politik matang, dengan konvensyen ini, rakyat tahu jenama kita, 100 peratus membawakan perbezaan. Dalam konvensyen ini kita dapat berinteraksi dengan lebih jelas dengan perwakilan.

“Objektif yang jelas melalui konvensyen semalam adalah untuk memperkenalkan penjenamaan KEADILAN dan menyampaikan maklumat kempen dengan arahan yang lebih jelas,” katanya.

Kata Rafizi, kejayaan konvensyen itu juga dapat disaksikan menerusi sambutan luar biasa daripada perwakilan seluruh negara- rata-ratanya petugas pilihan raya- termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Sambutan konvesyen semalam adalah di luar jangkaan kerana jumlah yang hadir mencecah 4000 orang. Ini yang dikatakan rakyat sudah mula budaya baru yang dibawa KEADILAN.

“Kita keluarkan penyertaan kepada 20 hingga 30 orang perwakilan mewakili negeri dan Cabang, tapi yang hadir lebih daripada itu. Kesemua adalah petugas pilihan raya,” kata Rafizi yang juga Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Dalam pada itu, katanya, maklumat dan agenda pilihan raya dalam konvensyen berkenaan disampaikan dengan gaya santai, menghiburkan dan menarik termasuk aplikasi mutlimedia- seperti tayangan video.

“Dengan menampilkan slot tayangan video, persembahan yang progresif dan berjiwa muda- konvensyen ini selaras dengan perkembangan politik baru,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu simbolik kepada tema pilihan raya KEADILAN berbunyi “Demi Rakyat” mampu memperkuatkan momentum sokongan pengundi kepada parti itu.

Ekoran sambutan hangat konvensyen berkenaan, katanya, kira-kira 300 ketua cabang KEADILAN seluruh negara mengemukakan permintaan untuk bertemu Anwar secara tertutup, sejurus konvensyen berakhir.

“Semangat begini yang kita mahukan daripada semua Ketua Cabang bagi menunjukkan contoh terbaik. Semangat mereka panas, tidak perlu dibangkit daripada tidur,” ujarnya.

Kak Zu – Setiausaha Kerja Pusat KEADILAN meninggal dunia


KUALA LUMPUR: Kakitangan di Ibu Pejabat KEADILAN, Zuraidah Abu Hassan yang bertugas sebagai Setiausaha Kerja Pusat, meninggal dunia selepas mengalami serangan angin ahmar.

Zuraidah, atau lebih dikenali sebagai Kak Zu, menghembuskan nafas terakhir pada usia 57 tahun, petang tadi.

Zuraida ditemui rakan serumahnya, selepas dipercayai jatuh di rumahnya antara pukul 6.30 petang hingga pukul 9.30 malam semalam,.

Menurut Pengarah Operasi Pejabat Setiausaha Agung KEADILAN, Sharifah Shahidah berkata, Allahyarhamah selepas itu dikejar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan mengalami koma.

Turut menziarahi allahyarhamah semalam, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Jenazah allahyarhamah, dijangka akan dikebumikan di tanah kelahirannya di Melaka.

Sementara itu, ucapan takziah dinyatakan bertalu-talu oleh pimpinan KEADILAN melalui laman Twitter dan Facebook.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan takziah di atas pemergian allahyarhamah di laman twitter beliau.

Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution pula menyifatkan allahyarhamah sebagai kakitangan yang berdedikasi.

“PKR kehilangan staf paling dedikasi Zuraidah Abu Hassan, moga Allah swt cucuri rahmat …AlFatihah,” ujarnya.

Setiausaha Pengelola KEADILAN, Radin Shamsul Kamal ketika dihubungi berkata, allahyarhamah bertugas dengan KEADILAN sejak 2005, sebagai Setiausaha Kerja Negeri Melaka, sebelum berpindah ke Ibu Pejabat KEADILAN.

Beliau menyifatkan Zuraidah sebagai seorang kakitangan yang rajin, peramah serta disenangi di kalangan kakitangan KEADILAN

Tuesday, June 14, 2011