SEMARAK REFORMASI

PANJI KEADILAN

Thursday, March 1, 2012

K’jaan jangan hipokrit tuduh pihak lain pro-Israel – Mapim

KUALA LUMPUR 1 Mac: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan menghentikan sikap hipokrit dengan menuduh pihak lain sebagai pro-Israel, tetapi dalam masa sama terus menjalin hubungan dengan rejim itu, kata Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Menurutnya, pemimpin kerajaan bersikap hipokrit apabila bertindak demikian sedangkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sendiri menggunakan khidmat firma Israel, Apco Worldwide.

“Sekarang perdana menteri tidak boleh lagi berselindung bahawa memang benar beliau telah mengupah Apco sebuah syarikat konsultan komunikasi Israel untuk membantu memperbaiki imej pemimpin BN.

“Mapim menegaskan bahawa polisi yang tidak konsisten ini akan meletakkan imej Malaysia sebagai negara yang tidak berintegriti dalam hubungannya dengan Israel,” kata Azmi dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengulas surat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad kepada tiga Perdana Menteri Israel – Yitzhak Rabin, Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak , yang membayangkan hasrat kerajaan pada masa itu menjalinkan hubungan dengan Israel.

“Apakah pemimpin kerajaan dapat menafikan hakikat bahawa sejak zaman Tun Mahathir sendiri lagi isyarat untuk mengadakan hubungan dengan Israel sudah mula dirintis?,” soalnya, yang turut dilaporkan Malaysiakini.

Beliau menegaskan, rakyat selama ini dikaburi “sandiwara” kononnya Malaysia sama sekali tidak mempunyai hubungan dengan Israel, namun fakta yang didedahkan setakat ini menunjukkan sebaliknya.


“Dunia akan melihat dasar hipokrit yang akan menelanjangkan Malaysia di kaca mata seluruh masyarakat antarabangsa,” katanya yang juga Presiden NGO Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

Dari satu sisi, katanya, kerajaan Malaysia dilihat sangat lantang mengutuk Israel, namun dari sisi lain, kerjasama ekonomi sangat subur antara dua negara itu.

“Dengan tidak mengiktiraf Israel tetapi aktif berdagang dengan Israel sudah cukup bagi Israel untuk menjadikan Malaysia sebagai negara rakannya yang strategik untuk menjaga kepentingannya dengan cara yang paling efektif,” katanya lagi.

Semalam, Harakahdaily melaporkan kerajaan Malaysia menjalinkan hubungan dagang dengan Israel sejak 2001, atau lebih awal dari itu.

Pada 2001 sahaja, Malaysia dikatakan mengimport USD615.924 juta (RM1,847 juta) barangan Israel dan mengeksport USD26.553 juta (RM79.65 juta) barangannya ke negara itu dan nilai dagangan antara kedua-dua negara meningkat dari tahun ke tahun.

No comments: