SEMARAK REFORMASI

PANJI KEADILAN

Monday, December 28, 2009

AMBANG SEJAHTERA 2010

Selamat Menyambut Hari Natal dan Tahun Baru.

Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal kepada seluruh penganut agama Kristian dan Selamat Tahun Baru kepada rakyat Malaysia. Tinggal beberapa hari sahaja lagi, maka tahun 2009 akan melabuhkan tirainya manakala menandakan permulaan bagi tahun 2010. Adalah menjadi kebiasaan, menjelangnya tahun yang baru, kita akan memperbaharui tekad dan keazaman demi mencapai matlamat yang disasar serta dicita-citakan. Namun perlulah cita-cita dan keazaman itu disusuli pula dengan tindakan bagi menyempurnakan tekad itu.

Sepanjang tahun ini kita menyaksikan akibat buruk kesan dari krisis kewangan yang melanda dunia. Malaysia dan rakyatnya tidak terkecuali dari menerima kesan tersebut. Episod ini menyedarkan kita untuk menilai dan merenung setiap dari kesalahan dan kecuaian, bukan sahaja oleh mereka yang berada di Wall Street ataupun tempat lainnya, malahan juga untuk bermuhasabah kesilapan serta kecuaian kita sendiri. Ini mengingatkan saya kepada karya Charles Dickens yang terkenal; A Christmas Carol.

Watak Ebenezer Scrooge yang tamak dan sering menindas pekerjanya dikunjungi Ghost of Christmas Past, Ghost of Christmas Present dan Ghost of Christmas Yet To Come selepas tujuh tahun kematian rakan kongsinya. Karya Dickens itu sewajarnya menjadi peringatan bahawa ketamakan, pemborosan dan penindasan hanya membawa keburukan. Pun demikian ianya juga membawa maksud Perubahan tidaklah mustahil. Scrooge yang tamak haloba itu, pada pengakhiran novel tersebut berubah menjadi seorang yang berperikemanusiaan dan sanggup untuk membetulkan kesalahannya.

Selamat Menyambut Hari Natal dan Tahun Baru.

ANWAR IBRAHIM

Wednesday, December 16, 2009

DR SYED HUSIN ALI ANGKAT SUMPAH

Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara untuk tempoh tiga tahun.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Wong Foon Meng di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Syed Husin, 63, yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri Selangor, berkelulusan ijazah doktor falsafah daripada London School of Economics dan berkecimpung dalam bidang politik sejak 50 tahun lepas.

Ketika ditemui Bernama selepas majlis angkat sumpah itu, beliau melahirkan perasaan gembira dan berharap menyumbang idea yang dapat dimanfaatkan oleh semua pihak

Tuesday, December 15, 2009

Monday, December 7, 2009

EXCO AMK KEDAH SERAH MEMORANDUM KEPADA MB


ANGKATAN MUDA KEADILAN NEGERI KEDAH

MEMORANDUM
(7hb Disember, 2009)

KE ARAH MEMANTAPKAN PENTADBIRAN/KERJASAMA PAKATAN RAKYAT DALAM PEMERINTAHAN NEGERI KEDAH


A. Pengurusan dan Pentadbiran Majlis Bandaraya dan Kerajaan Tempatan

1. Mencadangkan agar pihak kerajaan negeri memperkemaskan semula pentadbiran negeri di peringkat Majlis Bandaraya dan Kerajaan Tempatan. Ini kerana terdapat pegawai-pegawai kerajaan yang pro UMNO/BN cuba untuk mensabotaj kerajaan negeri dengan tindakan-tindakan yang mereka lakukan di peringkat daerah/PBT.

2. Pemantauan yang lebih khusus terhadap perlaksanaan dasar-dasar Kerajaan Negeri di peringkat PBT agar selari dengan dasar pentadbiran kerajaan negeri PR dan manifesto pilihanraya 2008.

3. Menuntut agar kerajaan negeri memandang serius masalah pihak Pengurusan dan Pentadbiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang tidak mesra rakyat serta perlaksanaan banyak keputusan serta tindakan penguatkuasaan yang seolah-olah bercanggah dengan dasar pentadbiran kerajaan negeri dan mensabotaj PR dengan tekanan yang berterusan terhadap peniaga-peniaga kecil serta orangramai di bawah pentadbiran MBAS.

Contoh

i. Sistem meletakkan kenderaan kereta yang yang tidak konsisten serta menyusahkan dan mengelirukan orangramai, terutama yang berpendapatan rendah (sistem meter, kupon dan parking attendant);

ii. Sistem meletakkan kenderaan motosikal yang membebankan golongan pelajar dan berpendapatan rendah. AMK mendesak caj meletakkan kenderaan motorsikal dihapuskan terus;

iii. Kesukaran mendapatkan lesen perniagaan peniaga dan penjaja kecil di bawah MBAS;

iv. Kesukaran memohon tapak perniagaan untuk golongan peniaga dan penjaja kecil;

v. Penguatkuasaan secara melulu dan mendadak terhadap peniaga dan penjaja kecil tanpa sebarang notis dan alternatif ruang niaga. Penguatkuasaan juga sering dilakukan secara terpilih, seolah-olah ada agenda politik bagi memberikan imej buruk kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

4. Mendesak pentadbiran kerajaan negeri supaya membuat lantikan baru YDP Kulim Hi-Tech memandangkan YDP sedia ada tidak dapat memberikan komitmen yang tinggi dalam pengurusan dan pentadbiran Kulim Hi-Tech kerana terlalu terikat dengan kerja-kerja sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

5. Mendesak agar setiap perlaksanaan dan penguatkuasaan dasar Majlis Daerah Kerajaan Tempatan mestilah berdasarkan keputusan ahli-ahli majlis yang dilantik bagi mewakili kerajaan negeri, dan bukan sebaliknya, atau berdasarkan keputusan majlis yang diambil sewaktu pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional.

6. Memantapkan kualiti ahli-ahli majlis lantikan politik dengan memperbanyakkan latihan dan kursus secara berkala khusus kepada semua Ahli-Ahli Majlis lantikan PR bagi memastikan mereka tahu peranan dan bidangkuasa mereka sebagai ahli majlis lantikan politik.

7. Mendesak agar segala perlaksanaan dan pemberian projek dan tender yang dibawah bidangkuasa PBT dilaksanakan secara telus dan terbuka, dan bukan hanya terhad kepada beberapa orang penjawat jawatan ex-officio di peringkat PBT. Ahli-ahli majlis juga mesti diserap ke dalam setiap jawatankuasa kecil dalam setiap jabatan di bawah PBT.

8. Mencadangkan kerajaan negeri mempertimbangkan kenaikan dan penyelarasan semula elaun ke semua ahli-ahli Majlis lantikan politik.

9. Mencadangkan agar pentadbiran kerajaan negeri membuka ruang dan peluang serta memastikan agar ahli-ahli PR tanpa mengira parti diserap seramai yang mungkin ke dalam pentadbiran kerajaan negeri/PBT/anak-anak syarikat kerajaan negeri dan lain-lain lagi jawatan yang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

10. Mendesak kerajaan negeri meneliti semula peruntukan Undang-undang Kecil serta segala peraturan yang berkaitan perjalanan PBT dan membuat pindaan yang bersesuaian bagi memastikan kesejahteraan orangramai selaras dengan dasar baru kerajaan Pakatan Rakyat.

11. Mendesak kerajaan negeri mengkaji semula struktur kadar cukai pintu agar lebih adil dan dapat diturunkan bagi meringankan beban rakyat selaras dengan manifesto 2008.

B. Pengurusan dan Pentadbiran Majlis Ketua Komuniti

1. Mendesak kerajaan negeri segera bertindak bagi memantapkan kualiti ahli-ahli Majlis Ketua Kampung/Komuniti (MKK) dengan memperbanyakkan latihan dan kursus secara berkala khusus kepada semua MKK lantikan PR bagi memastikan mereka tahu peranan dan bidangkuasa mereka sebagai MKK.

2. Meminta kerajaan negeri menyediakan satu garis panduan kerja dan bidangkuasa yang jelas kepada semua MKK yang sehingga hari ini masih keliru dengan bidang tugas dan kuasa mereka, untuk memastikan perlaksanaan dasar kerajaan PR yang lebih efisien di peringkat akar umbi.

3. Mencadangkan kerajaan negeri mempertimbangkan kenaikan dan penyelarasan semula elaun ke semua ahli-ahli MKK.

4. Menuntut agar pentadbiran kerajaan negeri menyelesaikan isu dewan orang ramai yang masih lagi dikuasai oleh UMNO/BN khususnya dewan orang ramai yang dibina di atas tanah kerajaan negeri. AMK mencadangkan supaya MKK dan pihak PBT memainkan peranan yang lebih untuk mengambil alih dewan-dewan tersebut dan kerajaan negeri segera mewartakan dewan orang ramai di bawah pentadbiran MKK.

C. Pengurusan Ekonomi Secara Adil dan Berhemah

1. Mendesak agar kerajaan negeri membuka ruang dan membenarkan penggunaan tanah-tanah kerajaan negeri yang berpotensi untuk tujuan pertanian dan akua-kultur terhadap golongan belia negeri Kedah.

2. Meminta agar kerajaan negeri mempermudahkan kelulusan permohonan perniagaan dari golongan belia, serta segera menubuhkan tabung usahawan belia negeri Kedah bagi membantu golongan peniaga kecil dan penjaja dari kalangan belia. Tabung ini diuruskendali di bawah YB EXCO Belia dan Sukan negeri Kedah.

3. Mendesak penglibatan terus AMK melalui perlantikan dalam Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan negeri Kedah.

4. Menuntut supaya pihak kerajaan negeri memberi keutamaan kepada kontraktor-kontraktor kelas F yang pro PR yang dipinggirkan oleh kerajaan persekutuan dalam agihan projek di negeri Kedah. Cadangkan supaya proses melulus dan melantik kontraktor dibuat di peringkat Ahli Majlis.

5. Mencadangkan agar kerajaan negeri melalui PBT mempermudahkan lesen-lesen perniagaan dan menyediakan lebih banyak tempat-tempat perniagaan yang yang berpotensi untuk menjana ekonomi tempatan.

6. Menuntut supaya kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri yang terlibat dalam projek pembangunan Kolej Insaniah atau mana-mana projek di bawah kerajaan negeri, supaya turut memberikan peluang dan agihan kontrak yang lebih adil kepada semua pihak-pihak dalam Pakatan Rakyat, terutama pihak AMK negeri Kedah.

7. Meminta satu sesi penerangan khas kepada pihak AMK mengenai projek Hub Hidrocarbon di Yan serta peluang-peluang ekonomi yang boleh diagihkan kepada golongan belia melalui projek tersebut.

D. Pendidikan

1. Mencadangkan agar pihak kerajaan negeri segera menubuhkan Tabung Kebajikan Pendidikan untuk semua kaum yang bagi membantu anak-anak dari keluarga yang kurang berkeupayaan melanjutkan pelajaran ke IPTA/IPTS.

2. Mencadangkan agar pihak kerajaan negeri menyalurkan bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah separa bantuan (partially aided) (SJKT/C dan SAR) seluruh Kedah sebanyak sekurang-kurangnya RM2 juta setahun dalam jangkamasa pendek untuk membolehkan sekolah-sekolah ini menguruskan pentadbiran sekolah dan menyediakan prasarana pendidikan dengan lebih baik.

3. Untuk jangkamasa panjang pula, AMK mencadangkan supaya pihak kerajaan negeri memperuntukkan tanah sebanyak 500 hektar kepada persatuan SJKT/C dan 1000 hektar untuk sekolah-sekolah Agama Rakyat supaya sekolah-sekolah ini dapat menggunakan sumber keuntungan yang diperolehi daripada pendapatan hasil tanah ini bagi mengurus sekolah masing-masing. Pengurusan pembangunan tanah ini diletakkan di bawah persatuan-persatuan atau sebuah anak syarikat kerajaan negeri Kedah.

4. Mencadangkan Kerajaan Negeri mewujudkan sistem persekolahan agama tambahan sebagaimana model pengurusan sekolah agama di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, yang mana sijil peperiksaan persekolahan tersebut (UPSRA) diiktiraf bagi kemasukan ke sekolah menengah agama. Pengurusan dan pentadbiran sistem persekolahan ini diletakkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri, Pusat Zakat dan Yayasan Islam Kedah.

5. Mencadangkan Kerajaan Negeri segera meluluskan permohonan tanah untuk pembinaan tapak sekolah dan perluasan bangunan sekolah sedia ada untuk sekolah-sekolah jenis SJKT/C dan Sekolah Agama Rakyat.

E. Memantapkan Imej dan Kerjasama Pakatan Rakyat

1. Mencadangkan supaya YAB MB, EXCO, Ahli Parlimen dan ADUN PR turun ke seluruh daerah di negeri Kedah untuk mendekatkan diri dengan rakyat secara berkala. AMK mencadangkan agar diadakan program bersama rakyat di setiap Parlimen setiap bulan.

2. Melantik wakil PR yang mewakili pelbagai kaum Melayu, India, Cina dan Siam daripada PKR, PAS dan DAP sebagai Pegawai Khas YAB MB.

3. Mendesak Pentadbiran kerajaan negeri memperbanyakkan sesi-sesi penerangan ke seluruh negeri mengenai pencapaian positif kerajaan PR di Kedah sejak PRU 12. Sebagai contoh laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini. Fokus dan tumpuan juga harus diberikan kepada menambah baik dan mengemaskinikan Warta Darulaman dan juga meningkatkan jumlah penerbitan Warta Darulaman. AMK juga mencadangkan agar Warta Darulaman juga diterbitkan dalam bahasa Cina, Tamil dan Inggeris.

4. Menuntut penglibatan lebih daripada ADUN-ADUN/MP dari PR bersama akar umbi dengan menganjurkan program-program mendekati masyarakat di bawah peruntukan khas kerajaan negeri.

5. AMK juga mencadangkan agar segera diwujudkan sekretariat PR di peringkat Parlimen untuk meningkatkan tahap kerjasama di kalangan PKR, PAS dan DAP.

6. Mencadangkan agar YAB MB secara konsisten memberikan perhatian terhadap sebarangdakwaan atau tuduhan bahawa ada dari kalangan ADUN atau EXCO yang menyalahgunakan kemudahan kerajaan negeri untuk tujuan peribadi. Ini kerana terdapat rungutan daripada orang ramai bahawa terdapat EXCO PR yang berbuat demikian. Isu ini melibatkan soal integriti yang akan menimbulkan persepsi yang negatif terhadap PR.

F. Memantapkan Keharmonian Hubungan Antara Kaum

1. Mencadangkan agar pihak kerajaan negeri mengiktiraf cuti perayaan Thaipusam dengan mengeluarkan satu pekeliling khas kepada semua pejabat kerajaan/swasta/kilang untuk memberikan perlepasan cuti tanpa rekod kepada pekerja kaum india untuk menyambut Thaipusam.

2. Mencadangkan agar diwujudkan sambutan perayaan setiap kaum di peringkat negeri.


Terimakasih



......................................................
SAIFUL IZHAM BIN RAMLI
Ketua AMK Kedah
Bagi pihak
Angkatan Muda Keadilan
Negeri Kedah Darul Aman