SEMARAK REFORMASI

PANJI KEADILAN

Sunday, February 28, 2010

KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA

KENYATAAN MEDIA
UNTUK EDARAN SEGERA

Tarikh: 1 Mac 2010

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) perlu mengucap syukur ke Hadrat Allah (SWT) kerana Fairus Khairuddin akhirnya meninggalkan Parti. Sejak beliau menyertai Kerajaan Pulau Pinang dan selepas meletakkan jawatan sehingga terkini, beliau merupakan liabiliti.

Fairus tiada pilihan lain dari meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri kerana beliau ketika itu disiasat SPRM dan prestasinya tidak memuaskan. Apabila berhenti, beliau menuntut supaya Parti melunaskan hutang untuk dua buah kereta mewahnya dan membayar beliau RM15,000 sebulan buat selama-lama yang ditentukannya. Tidak ada sebab bagi Parti melayan tuntutan itu. Lagipun Parti tidak mampu berbuat demikian.

Atas rasa belas kasihan terhadap anak isterinya seorang baik hati memberikannya “kerja” dengan bayaran bulanan sebanyak RM4000. Beliau tidak puas hati dan oleh itu terus memburukkan pimpinan Parti. Kini beliau sudah berjumpa dengan pemimpin Umno yang boleh membayarnya jauh lebih besar dari itu.

Fairuz memberikan alasan kaum dan agama kerana tindakannya. Sangat memalukan. Beliau sendiri, kawan-kawannya dan Allah mengetahui sebab sebenar.

DR. SYED HUSIN ALI
Timbalan Presiden, KEADILAN

Friday, February 12, 2010

SELAMAT TAHUN BARU CINA 2010

Tahun Baru Cina kali ini merupakan tahun harimau. Ianya melambangkan keberanian, kejujuran, tangkas, sedia bersaing dan siaga mempertahankan maruah. Kebiasaannya masyarakat cina akan mengambil pedoman dari kitaran tahun-tahun tersebut untuk mencipta dan merencana masa depan yang lebih cemerlang. Namun bagi semua rakyat Malaysia ciri-ciri baik seperti berani, jujur, bersedia untuk bersaing dan berani mempertahankan maruah ternyata bukanlah asing bagi kita yang mempunyai asas kepercayaan dan tradisi masing-masing. Kita semua mahukan yang terbaik buat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kita berhasrat Malaysia yang dicintai ini senantiasa makmur, bebas dari rasuah dan jenayah. Yakinilah, kita pasti dapat mengharungi segala rintangan demi mengembalikan Malaysia kepada maksud asal penubuhannya. Harapan kita agar negara ini adil serta saksama menjamin hak semua rakyatnya tanpa mengira kepercayaan dan ras.

Dengan kesempatan ini izinkan saya mengucapkan Xin Nian Kuaile dan Gong Xi Fa Cai kepada semua rakyat Malaysia berbangsa Tiong Hua. Adalah diharapkan sambutan Tahun Baru Cina tahun ini lebih meriah dengan sambutan bersama oleh masyarakat Melayu, India, Iban, Kadazan dan lain-lainnya.

Selamat menyambut Tahun Baru Cina daripada kami, keluarga dan gerak kerja KeADILan di semua peringkat.

ANWAR IBRAHIM