SEMARAK REFORMASI

PANJI KEADILAN

Tuesday, November 22, 2011

Ada cubaan gagalkan Kongres KEADILAN


AMPANG 22 Nov: Pengarah Operasi Pejabat Setiausaha Agung KEADILAN, Sharifah Shahidah berkata, wujud usaha pihak tertentu untuk menggagalkan Kongres Nasional KEADILAN yang dianjurkan di Johor 25 hingga 27 November ini.

Ini kerana katanya, beberapa minggu lalu, petugas parti dihalang memasang banner berkaitan kongres di sekitar kawasan Pulai Spring Resort, tempat kongres itu bakal berlangsung.

“Wujud pihak tertentu’ yang seolah bertujuan mahu menggagalkan kongres KEADILAN yang berlangsung di Johor kali ini.

“Walaupun beberapa hari lalu kita dibenarkan juga memasang banner, namun kita kesal tindakan ‘pihak tertentu’ itu,” katanya ketika ditemui pada Forum ‘GST dan Inflasi’ yang berlangsung di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) semalam.

Selain itu, katanya pihak yang dilantik menguruskan pentas ‘turut ditekan pihak tertentu’.

Menurutnya, tindakan itu bertentangan dengan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sebelum ini memberi jaminan tidak akan ada sebarang gangguan terhadap penganjuran kongres berkenaan.

Oleh itu, beliau berharap insiden seperti itu adalah yang terakhir dan tidak lagi berlaku selepas ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bermula Khamis hingga hujung minggu ini, pimpinan KEADILAN bermula dari peringkat Ahli Majlis Pimpinan Pusat akan mengadakan jelajah penerangan di setiap pelosok negeri itu.

Jelajah anjuran KEADILAN Johor itu antara gerak kerja berterusan untuk menawan Johor pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Sepanjang jelajah itu, kita berharap setiap peringkat lapisan masyarakat memanfaatkannya dengan mendengar sendiri penerangan isu secara langsung dari pimpinan parti.

“Pastinya, ceramah dan penerangan yang turut diminta rakyat ini tidak akan disiarkan media arus perdana kerana Umno-BN kian gusar dengan usaha Pakatan Rakyat yang mahu menakluk kubu kuat Umno itu,” tegasnya.

Pertikai keputusan tidak bubar DUN, AMK selar Pemuda MCA

PETALING JAYA 22 Nov: Angkatan Muda KEADILAN menyelar kenyataan Ketua Pemuda MCA yang mempertikai keputusan kerajaan Selangor untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke 13.

Ia berikutan pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid ibrahim sebelum ini yang menegaskan DUN di Selangor hanya akan dibubar selepas Jun 2012.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Datuk Dr Wee Ka Siong tidak mempunyai hak untuk mempertikaikan keputusan tersebut kerana MCA dan BN adalah pembangkang di Selangor.

“Mengikut perlembagaan, bubar DUN adalah kuasa mutlak Menteri Besar atau Ketua Menteri di sesebuah negeri dan cadangan Tan Sri Khalid itu sah.

“Maka tindakan Ka Siong mempertikainya sesuatu yang lucu dan dia mungkin lupa Selangor sudah empat tahun ditadbir Pakatan Rakyat,” katanya selepas mesyuarat pemuda Pakatan Rakyat di pejabat KEADILAN di Petaling Jaya hari ini.

Turut serta dalam sidang media itu Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi, wakil Pemuda Dap, Zairil Khir Johari dan pimpinan pemuda Pakatan Rakyat lain.

Menurut Shamsul, cadangan Khalid itu sesuatu yang baik kerana sekurang-kurangnya memberi bayangan bilakah tarikh pilihan raya negeri akan diadakan.

Berbanding pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga kini enggan memberi tarikh sebenar bilakah Parlimen dibubarkan.

“Pemuda Pakatan Rakyat menyambut baik langkah Tan Sri Khalid agar DUN Selangor hanya akan dibubar selepas Jun kerana ia baik untuk rakyat.

“Sebab dengan pengumuman itu, maka pelbagai dasar kerajaan negeri termasuk yang baru dibentang dalam belanjawan negeri baru-baru ini dapat dilaksana dalam tempoh munasabah,” tegasnya.

Sementara itu, timbalannya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata, di negara maju, tarikh pilihan raya sudah pun diketahui lima tahun sebelum dibubarkan

Monday, November 7, 2011

Ada tunai haji di Mekah tapi amal rasuah di Malaysia


TANGKAK: Tidak ada ertinya menunaikan haji di Mekah jika terus menerus mengamal kezaliman dan penindasan kepada rakyat, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tidak semestinya pergi haji, terhapus semua dosa. Sebab itu, dalam Islam kena ikhlas, ada konsep haji mabrur.

“Jangan zalimi rakyat. Tangkap orang, fitnah orang, ukur kemaluan orang. Ini tidak. Pergi, balik haji – sama saja. Sebelum pergi haji, rasuah. Balik haji pun rasuah.

“Ambil rasuah tapi pergi haji, siap derma lagi,” katanya tanpa menyebut nama mana-mana individu mahupun pemimpin politik pada ceramahnya di Kampung Sri Jaya, Serom 8 Tangkak Johor, malam tadi.

Lebih 1,000 penduduk setempat mengikuti ucapan Anwar sekalipun hujan sepanjang program itu. Turut berucap ialah Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Jui Meng dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mat Akin.

Anwar percaya ibadat haji adalah amalan yang penuh makna dan turut menyatakan beliau sudah sudah dua kali mengerjakan haji selain umrah sekali gus menjawab tohmahan dan fitnah blogger pro-Umno.

Pada ceramah hampir sejam itu, Anwar juga menceritakan kisah Malcolm X yang tertarik dengan Islam apabila melihat persamaan sesama umat hingga meresap ke jiwanya lantaran suasana di Mekah tidak pernah wujud di mana-manapun di pelusuk dunia ini.


“Malcolm X kagum kerana di Mekah, semua baik orang kaya, yang berpangkat mahupun miskin, sama-sama beribadat tanpa sebarang perbezaan darjat,” katanya.

Malclom X atau nama sebenarnya, El-Hajj Malik El-Shabazz adalah pemimpin Islam Afrika yang terkenal di dunia dan meninggal dunia pada 21 Februari 1965.

Ini sama sekali berbeza dengan paparan gambar gelagat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menunaikan haji baru-baru ini, yang dikelilingi pengawal keselamatan di Mekah, selain menguar-uar pemergiannya ke tanah suci itu melalui media arus perdana

keadilandaily

Tuesday, November 1, 2011

ADUN Kota Siputeh Datuk Abu Hassan Sharif akan dihalang daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah




Ia berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang sebulat suara membenarkan permohonan penangguhan keputusan yang dibuat oleh speaker DUN Kedah Dr Abdul Isa Ismail, terhadap penghakiman 18 Ogos lalu yang mengekalkan kedudukan Abu Hassan sebagai wakil rakyat kerusi itu.

Peguam Edmund Bon, yang mewakili Abdul Isa dengan Zulqarnain Lokman membuat permohonan itu hari ini.

Beliau berkata Abdul Isa telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan dan jika mahkamah berkenaan memutuskan sebaliknya, apa-apa keputusan yang dibuat oleh DUN - terutamanya semasa pembentangan bajet bulan ini - boleh diisytiharkan batal dan tidak sah.

"Dengan keputusan hari ini, Abu Hassan (kanan, bertali leher) akan dihalang daripada menghadiri sidang pada bulan ini," Bon memberitahu Malaysiakini.

"Mahkamah Rayuan masih belum memberikan alasan bertulis berhunung keputusan 18 Ogos dan sehubungan itu, Mahkamah Persekutuan belum boleh mendengar rayuan itu. Kami terpaksa mengambil langkah ini untuk memastikan kesahihan sidang dewan (akan datang)."

Hakim Datuk Sulaiman Daud mengetuai panel tiga hakim yang mendengar permohonan tersebut. Dua lagi hakim ialah Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Anantham Kasinater.

Pada 18 Ogos, Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Ramly Ali membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua tahun lalu, yang mengisytiharkan kerusi Kota Siputeh kosong.

Tiada hujahan yang diberikan oleh Hakim Ramly yang bersidang bersama Hakim Datuk Linton Albert dan Datuk ziah Ali.

Bagaimanapun, pada bulan November 2009, Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas beliau mendapati ada asas bagi permohonan Isa Abdul kerana Abu Hassan gagal menghadiri dua mesyuarat sidang DUN tahun tersebut

mkini

JINGGA 13 BUAT LAPORAN POLIS

Kuala Lumpur: Badan Bukan Kerajaan (NGO) Jingga 13 hari ini mengemukakan laporan polis berhubung kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dikatakan menghina hukum hudud.

Chua dalam kenyataan dipetik akhbar The Star 29 Oktober lalu berkata hukum hudud akan menjadikan negara ini mundur dan menakutkan pelabur asing.

Menyifatkannya sebagai biadap, Koordinator Jingga 13 Fariz Musa berkata kenyataan itu mengguris perasaan apabila seorang rakyat bukan Islam dengan mudahnya mempersoalkan pelaksanaan hukum hudud di sebuah negara yang majoritinya Islam dan mengaku menjadi model negara Islam.

Katanya, kenyataan Presiden MCA itu juga mampu menghasut masyarakat bukan Islam lainnya untuk membenci hudud.

Malah kedudukannya sebagai presiden parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) dikhuatiri akan menyebabkan salah faham besar antara agama dan kaum.

Rusuhan kaum, agama

“Kami khuatir kenyataan Chua itu akan menimbulkan kebencian agama dan kaum, selain menggugat dan mengancam keharmonian negara.

“Chua juga perlu serta merta memohon maaf atas kebiadapan itu kepada seluruh umat Islam di negara ini,” katanya.

Laporan itu dibuat wakil Jingga 13 Mohd Khairul Zaman Khairan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Beliau turut mendesak supaya akhbar The Star digantung lesen penerbitannya mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atas sifat melulu dan tidak profesional ketua pengarangnya menyiarkan artikel sedemikian tanpa usul periksa.

“Kami mendesak Chua supaya mohon maaf secara terbuka kerana telah menghina Islam sebagai agama rasmi dan Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua agama,” katanya.

Katanya, masa 48 jam diberikan kepada Chua sebelum pihaknya mengemukakan memorandum di hadapan Pejabat MCA di sini Rabu depan.

Sementara itu, Fariz turut menyelar Umno yang selama ini bersikap diam diri apabila Chua mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Kalau mereka boleh adakan Himpunan Sejuta Umat (Himpun) untuk mempertahan akidah umat Islam dari murtad saya minta mereka jangan bersikap pilih kasih dalam hal ini,” katanya. -FMT

Tuesday, October 4, 2011

Kesejahteraan Untuk Semua – Ucapan Ketua Pembangkang Belanjawan PR 2012

1. Terima kasih dan tahniah kepada pasukan belanjawan Pakatan Rakyat yang berjaya menghasilkan sebuah dokumen yang lengkap dan menyeluruh, walaupun mereka tidak dibantu oleh perunding dan firma media antarabangsa yang mahal.

2. Keupayaan Pakatan Rakyat menghasilkan sebuah belanjawan menyeluruh yang berlandaskan semangat reformasi rakyat adalah satu mercu tanda kematangan dan kesediaan Pakatan Rakyat menjadi kerajaan persekutuan yang baru. Belanjawan yang bertemakan “Kesejahteraan Untuk Semua” ini lengkap mencerakinkan dengan terperinci unjuran pendapatan, perbelanjaan dan peruntukan untuk program-program nasional yang meniupkan roh kebajikan seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

3. Belanjawan ini akan menjadi penanda aras dan penimbal balik kepada belajawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober ini. Saya yakin rakyat yang serba matang dan mahir menilai akan membandingkan kedua-dua dokumen dan Insya Allah menguatkan lagi iltizam rakyat menuntut perubahan di negara yang kita cintai.

BAB 1: MAQASSID BELANJAWAN MENGANGKAT KEPERLUAN RAKYAT

4. Proses pembentangan dan meluluskan belanjawan setiap tahun hanya dijadikan rutin oleh Barisan Nasional hingga mengenepikan matlamat sebenar sebuah kerajaan merangka dan membentangkan belanjawan kepada rakyat.

5. Apakah wajar belanjawan hanya dilihat sebagai satu senarai gula-gula yang hendak ditawarkan kepada rakyat beberapa bulan sebelum pilihanraya umum, sedangkan bertahun-tahun sebelum itu rakyat ditindas? Di mana kewarasan sebuah kerajaan apabila fokus setiap belanjawan hanyalah kepada perkara-perkara yang penting kepada golongan kecil niagawan kaya dan kroni-kroni mereka, sedangkan kebajikan rakyat diketepikan?

6. Sebab itu Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mengambil pendekatan yang sangat berbeza. Sementara kita memberi perhatian kepada perkara-perkara makro ekonomi (baik persoalan defisit, pelaburan swasta, angka-angka pertumbuhan, keberdayasaingan ekonomi negara), kita jangan sekali-kali alpa bahawa maqassid perancangan belanjawan adalah untuk mengangkat keperluan rakyat mengatasi yang lain.

7. Makanya, prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:

a. Membantu rakyat dalam masa terdekat untuk mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit;

b. Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khusus untuk mengurangkan defisit;

c. Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan;

d. Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian yang memartabatkan rakyat; dan

e. Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang menjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.

8. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4% daripada KDNK. Walaupun jumlah ini melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM14 bilion dari kadar yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional, kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20% nilai tambah kepada rakyat, berbanding apa yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional selama ini.

9. Keseluruhan RM220 bilion ini akan digunakan sebaiknya untuk mengimbangi keperluan membaiki kerangka ekonomi negara yang kian punah di bawah Barisan Nasional dan membela rakyat dalam suasana yang semakin mendesak.

10. Defisit tahun 2011 yang diunjurkan mencecah 6% dari KDNK membayangkan kegagalan Barisan Nasional menghentikan langkauan defisit belanjawan selama 13 tahun berturut-turut akibat ketirisan, rasuah dan penyelewengan. Oleh itu, fokus untuk mengurangkan defisit kepada angka 4.4% telah menjadi satu keperluan mutakhir demi kelangsungan kewangan negara di masa akan datang.

BAB 2: KESEJAHTERAAN UNTUK SEMUA MELALUI PEMBELAAN RAKYAT TERBANYAK



11. Merujuk kepada angka-angka pendapat isi rumah yang terkini, seharusnya kita menginsafi ingatan Allah SWT yang cukup jelas di dalam Surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: “Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

12. Realitinya di Malaysia sudah jauh menyimpang dari ketetapan ini. Walaupun ada pihak yang mendakwa satu Malaysia ini serupa, hakikatnya negara kita adalah negara yang majmuk kelas ekonominya.

13. Golongan mahakaya (super rich) membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pencen dan pendapatan mereka semakin mengecil. Anak-anak muda yang memasuki alam pekerjaan terpaksa bertungkus lumus berkongsi rumah dan mengikat perut, sedang anak-anak golongan mahakaya ini seronok melancong dan berbeli belah beg-beg tangan mahal dan cincin permata.

14. Golongan pekerja masih memperjuangkan hak untuk dibayar upah yang bersesuaian dengan kos sara hidup kini dan masih ramai yang upahnya lebih kecil dari garis kemiskinan yang ditetapkan. 35% dari rakyat kita bekerja dalam sektor tidak formal seperti menjaja dan berniaga kecil-kecilan yang tidak mempunyai perlindungan kerja dan imbuhan sosial yang memadai.

15. Statistik-statistik rasmi dari Kerajaan sendiri jelas menunjukkan satu Malaysia yang caca merba dan tidak sekata agihan kekayaannya.

16. 40% dari rakyat Malaysia datang dari isi rumah yang pendapatannya kurang dari RM1,500 sebulan. ¾ dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh pemerintah. Lebih mendukacitakan, golongan 20% terkaya di dalam negara (termasuklah golongan mahakaya dan kaum kerabat mereka) membolot 50% kekayaan negara, sedang 40% golongan terbawah hanya menikmati 15% dari kekayaan negara.

17. Semua ini melambangkan kegagalan sebuah pentadbiran yang memusatkan kekayaan kepada segelintir kecil kroni dan kaum kerabat mereka, bertentangan dengan peringatan Allah SWT di dalam Surah Al-Hasyr tadi.

18. Kegilaan itu semakin menjadi-jadi. Terkini kita disajikan dengan berita-berita pengambilan aset-aset syarikat awam oleh entiti yang dikawal oleh beberapa kerat mahakaya dan kaum kerabat mereka, seolah-olah kekayaan sedia ada masih belum mencukupi. Jangan kita lupa bahawa senarai orang-orang terkaya di Malaysia dihiasi dengan kaum-kerabat pemerintah, baik anak-anak mantan mahupun adik kepada Perdana Menteri sedia ada.

19. Kalau anak mantan Perdana Menteri memiliki syarikat perkhidmatan petroleum yang kelima terbesar di dunia selepas penggabungan Kenchana Petroleum dan SapuraCrest yang melibatkan RM12 billion , apakah tiada anak Malaysia yang cemerlang di dalam bidang-bidang ini selain dari anak mantan Perdana Menteri?

20. Tidak cukup seorang anak mantan Perdana Menteri itu menguasai industri huluan petroleum, anaknya yang seorang lagi pula mahu menguasai industri hilirian petroleum melalui konglomerat San Miguel yang membina kekayaan hasil dari perniagaan arak .

21. Kebejatan ekonomi sebeginilah yang menyebabkan RM52 bilion saham yang diberikan kepada golongan-golongan atasan Melayu akhirnya hilang begitu sahaja. Sedang mereka bergembira dengan kekayaan mereka, rakyat di bawah merempat mencari sesuap rezeki.

22. Tatkala kadar inflasi terus kekal pada kadar sekitar 3% seperti sekarang, rakyat akan terus terbeban dengan harga barang yang menjadi jenama paling unggul Barisan Nasional.

23. Angka-angka ekonomi negara semuanya rendah-rendah belaka, kecualilah angka-angka kenaikan harga barang. Perbandingan harga barang di antara tahun 2008 dan 2011 menunjukkan bahawa harga gula telah melonjak sebanyak 66%, diikuti dengan harga 1 kilogram ayam bersih yang melonjak 37%, seterusnya harga susu bayi 1.8 kilogram mencecah kenaikan 26%, teh tarik mengalami kenaikan harga 25% dan sebungkus roti putih naik harganya sebanyak 20%.

24. Unjuran angka inflasi membayangkan sekiranya keadaan ini berterusan sehingga tahun 2015 akibat kegagalan Barisan Nasional mengawal harga barang, rakyat Malaysia akan menanggung kos barangan harian yang telah melonjak naik 50% lebih mahal dalam tahun 2015 berbanding tahun 2005, sedangkan purata kenaikan gaji dalam masa satu dekad hanyalah 2.6% .

25. Makanya, tema “Kesejahteraan Untuk Semua” adalah sangat bertepatan kerana Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan rakyat:
a. Peruntukan subsidi sebanyak RM22 bilion dikekalkan dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini. Ini dijangka akan mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012.

b.Tumpuan khusus akan diberikan untuk menambahbaik sistem penyampaian subsidi agar ia sampai terus kepada rakyat yang memerlukan, bukannya ditadbir dan tersekat di pertengahan akibat monopoli yang diberikan kepada syarikat tertentu. Ini termasuklah penghapusan subsidi korporat yang selama ini menguntungkan golongan mahakaya dan kroni mereka seperti pemilik-pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh BERNAS, monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan dan lain-lain.

c. Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas yang layak, berdasarkan pendapatan kurang dari RM18,000 setahun. Ia dijangka akan menelan belanja RM1.7 bilion setahun tetapi difikirkan perlu untuk membantu golongan warga emas dan pencen yang kuasa beli mereka semakin terhakis akibat kenaikan harga barang.

d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak RM1,000 dalam tahun 2012 kepada mereka yang layak, untuk mengurangkan bebanan keluarga dan menggalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Ini akan membabitkan peruntukan RM2 bilion.

e. Bayaran tambahan (top up payment) kepada isi rumah di dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550. Ini difikirkan wajar sebagai langkah segera membantu golongan terbawah di dalam ekonomi negara.

f. Pada masa yang sama, mengambil kira faktor semasa dan kenaikan harga mutakhir, bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diselaraskan kepada RM550 sebulan, dari kadar sedia ada sebanyak RM300 sebulan.

BAB 3: MENGEMBALIKAN MARTABAT RAKYAT

26. Pemerintah sedia ada sering berkelakuan angkuh apabila berhadapan dengan kesusahan rakyat. Apabila harga minyak naik mendadak, Perdana Menteri meminta rakyat mengubah gaya hidup sedangkan beliau dan keluarga menghabiskan lebih banyak masa di luar negara atas pelbagai urusan .

27. Barisan Nasional juga menyalahkan segala-galanya kepada rakyat. Hutang negara yang mencecah kadar tertinggi dalam sejarah pun dek kerana rakyat, ekonomi yang tidak dapat dipulihkan pun kerana rakyat yang kononnya mahu bertongkat. Malah, pengangguran anak-anak kita sekali pun ditohmahkan kepada sikap anak-anak muda yang kononnya terlalu memilih, sedangkan ramai pula yang tidak malu melakukan kerja-kerja bawahan walaupun berijazah.

28. Hubungan rakyat dengan pemerintah sedia ada umpama khadam dengan tuan. Kalau tidak kerana puluhan ribu rakyat turun membanjiri Kuala Lumpur bersama-sama BERSIH2.0, warna kuning sekali pun hendak diharamkan; apatah lagi menerima dengan terbuka tuntutan agar reformasi pilihanraya dijalankan.

29. Hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup umpama melukut di tepi gantang. Anggaran Bank Dunia meletakkan bahawa 34% daripada tenaga kerja masih dibayar di bawah kadar RM700 sebulan, bermakna satu pertiga daripada tenaga kerja Malaysia berada di bawah paras kemiskinan.

30. Persoalan gaji juga menjadi isu yang mahu dipadamkan oleh pemerintah sedia ada. Gaji yang bermaruah dan bertepatan dengan keperluan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa bukanlah keistimewaan atau kemewahan yang dituntut oleh rakyat. Ia adalah satu konsep hak asasi manusia yang diterima pakai di seluruh dunia; bahawa setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan.

31. Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah yang memandang rendah kepada rakyat, seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah. Kuasa untuk menentukan gaji minima terus dipusatkan di tangan Menteri, justeru Akta Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan yang dibentangkan baru-baru ini tidak lebih dari helah untuk menutup keengganan Barisan Nasional melaksanakan gaji minima.

32. Tabiat merendah-rendahkan martabat rakyat ini semakin berleluasa sehingga mengenepikan kakitangan perkhidmatan awam. Umum mengetahui bahawa pentadbiran Perdana Menteri lebih gemar menggunakan khidmat perunding luar atau mereka yang dibawa masuk dan dibayar gaji besar daripada tenaga pakar sedia ada di dalam perkhidmatan awam. Kerajaan mengeluh apabila berhadapan dengan masalah gaji perkhidmatan awam, tetapi kontrak ratusan juta kepada perunding asing diluluskan dengan sewenang-wenangnya.

33. Beberapa dasar pemerintah sekarang juga tidak membantu memperkasakan rakyat meningkatkan keupayaan ekonomi mereka. Kegagalan membina sistem latihan teknikal dan vokasional yang baik dan ketiadaan universiti-universiti berorientasikan teknikal yang menekankan kepada skim perintis dengan industri menyebabkan wujudnya jurang di antara kehendak industri dan kemahiran tenaga kerja.

34. Mengambil kira perkara-perkara ini, untuk mengembalikan martabat rakyat dan menghentikan pendekatan yang meremeh temehkan rakyat seperti yang diamalkan pemerintah sedia ada, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memperuntukkan perkara-perkara berikut:

a. Gaji minima akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Pakatan Rakyat akan menggunapakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada. Gaji minima sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan;

b. Pengenalan gaji minima dijangka akan memanfaatkan 300,000 orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100;

c. Tangga gaji kakitangan awam akan diselaraskan berikutan pengenalan gaji minima dan melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam yang lain mengikut tangga gaji masing-masing;

d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga;

e. Penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan pengenalan gaji minima dan janji Buku Jingga akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM5.9 bilion;

f. Pakatan Rakyat akan menghentikan serta-merta kecenderongan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan;

g. Peruntukan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik di semua peringkat termasuk naiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal;

h. Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam yang akan dipacu melalui perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan negeri;

i. Pelaksanaan skim “Bina dan Jual” secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai; dan

j.Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung dan konsesi yang digunapakai; bermula dengan pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu-pemandu teksi.

BAB 4: MENJAMIN KELANGSUNGAN KEWANGAN NEGARA

35. Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah mencecah RM437 bilion. Jika unjuran KDNK bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5%, maka kadar keberhutangan negara telah mencecah 53% dari KDNK negara. Pada tahun 2007, kadar ini hanyalah 42% dari KDNK negara.

36. Kadar keberhutangan rakyat Malaysia juga merunsingkan. Jumlah hutang oleh isi rumah Malaysia telah mencecah RM577 bilion pada akhir 2010, iaitu 77% dari KDNK sedangkan pada tahun 1997, ia hanyalah 33% dari KDNK. Maknanya, di bawah pentadbiran Menteri-menteri Kewangan yang kebetulannya semuanya Perdana Menteri sejak tahun 1998, rakyat Malaysia terpaksa berhutang lebih sehingga kadar keberhutangan meningkat sekali ganda dalam masa 13 tahun sahaja.

37. Keadaan diburukkan lagi dengan kadar defisit yang berpanjangan sejak mantan-mantan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang memegang tampuk perbendaharaan negara. Defisit negara diunjurkan mencecah 6% bagi tahun 2011, jauh tersimpang dari janji Perdana Menteri untuk mengurangkan defisit ke kadar 5.2% seperti yang dibentangkan di dalam belanjawan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh.

38. Malaysia tidak memerlukan perunding ekonomi antarabangsa yang mahal-mahal untuk memahami ancaman defisit dan hutang kepada kelangsungan kewangan dan kestabilan negara.

39. Rentetan krisis kewangan di Eropah dan Amerika Syarikat secara jelas mengajar kita bahawa negara-negara yang tata kelolanya lemah, berbelanja berlebihan melalui hutang dan disalahtadbir ekonominya adalah negara-negara yang paling terkesan apabila berlaku kejutan ekonomi dunia.

40. Malangnya, apabila ini berlaku, rakyatlah yang menjadi mangsa dan terpaksa menanggung beban pelbagai tindakan susulan yang diambil.

41. Oleh yang demikian, tumpuan untuk mengekang defisit sewajarnya menjadi tumpuan utama agar kita berjaya menghentikan kitaran memusnahkan akibat tabiat berhutang yang diamalkan Barisan Nasional selama ini.

42. Saya juga ingin menegaskan bahawa persoalan defisit bukanlah persoalan melebarkan jaringan percukaian agar lebih ramai rakyat membayar cukai. Usaha mengekang defisit perlu ditumpukan kepada usaha mengawal perbelanjaan dan mewujudkan tata kelola kewangan terlebih dahulu; berbanding sikap Barisan Nasional yang cepat melatah untuk mengenakan cukai baru seperti Cukai Barangan dan Jualan (GST).

43. Mengambil kira keperluan untuk memulihkan asas kewangan negara dan menjamin kelangsungan kewangan negara, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut:

a. Memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan mengembalikan peruntukan ini kepada kementerian-kementerian yang berkenaan dan mengurangkan kecenderongan berbelanja berlebihan oleh Perdana Menteri;

b. Sasaran mengekang defisit yang drastik iaitu pada kadar 4.4% bagi tahun 2012, berbanding sasaran-sasaran yang menyimpang sebelum ini;

c. Dividen dari PETRONAS diunjurkan pada kadar RM26 bilion sahaja, iaitu RM4 bilion lebih rendah dari amalan semasa Barisan Nasional walaupun keuntungan PETRONAS dijangka melonjak naik dalam tahun 2012 akibat harga minyak mentah yang tinggi. Ini bertujuan memastikan PETRONAS mempunyai sumber yang mencukupi untuk berkembang dan menjamin masa depan negara;

d. Penjualan lesen import (AP) akan dibuat melalui proses lelongan yang dijangka akan menambah pendapatan negara sebanyak RM1.2 bilion;

e. Pendekatan perolehan kerajaan akan dipinda untuk mengamalkan tender terbuka dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu/Bumiputra dan golongan-golongan yang memerlukan diperkenalkan bagi melatih usahawan-usahawan baru berteraskan kebolehan dan merit;

f. Menyemak kembali kontrak-kontrak pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara;

g. Tumpuan kepada memaksimakan pendapatan negara dengan mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara; dan

h. Mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang dibatalkan oleh Perdana Menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain atas pertimbangan kategori barangan ini hanya digunakan oleh golongan mewah. Maka sewajarnya cukai yang berpatutan disumbangkan untuk memperkemaskan kewangan negara.

BAB 5: MEMBINA KEANJALAN DAN DAYA SAING EKONOMI

44. Ekonomi negara perlu beralih kepada sektor bernilai tinggi untuk menambah pendapatan rakyat dan negara. Model ekonomi kos rendah yang banyak menggunapakai tenaga asing yang murah sebenarnya merompak rakyat Malaysia dari segi peluang ekonomi. Saban tahun, pekerja-pekerja asing juga menghantar puluhan bilion wang ringgit keluar dari Malaysia.

45. Niagawan-niagawan yang terlalu mempertahankan model ekonomi seperti ini sebenarnya mengambil subsidi dari rakyat Malaysia kerana keuntungan mereka adalah hasil dari menidakkan rakyat Malaysia dari peluang pekerjaan pada gaji yang munasabah.

46. Daya saing ekonomi negara juga memerlukan penglibatan lebih tinggi golongan wanita untuk merealisasikan potensi ekonomi mereka. Pakatan Rakyat mensasarkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja mencecah 55% menjelang 2015, berbanding kadar 43% sekarang.

47. Kita juga perlu merubah struktur ekonomi yang mempertahankan dan mengkayakan beberapa kerat mahakaya melalui konsesi-konsesi yang meningkatkan kos operasi dan perniagaan. Pertembungan di antara sektor swasta dan syarikat milik kerajaan juga perlu dikurangkan untuk mengembalikan kerancakan pelaburan swasta dalam ekonomi negara.

48. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mencadangkan perkara-perkara berikut:

a. Menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai kembali konsesi-konsesi yang tidak adil untuk menghentikan herotan kos operasi dan perniagaan yang ditanggung oleh rakyat dan niagawan;

b. Meminda Akta Persaingan 2011 supaya turut meliputi sektor-sektor penyiaran, telekomunikasi, tenaga dan sektor bermonopoli lain untuk memecahkan monopoli;

c. Sasaran pengurangan pekerja asing yang jelas menjelang 2015 mengikut sektor ekoran pengenalan gaji minima; dan

d. Elaun penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun kepada ibu-ibu yang layak untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita di dalam tenaga kerja; dipadankan dengan pelaburan kerajaan untuk membina pusat penjagaan kanak-kanak yang menepati piawaian.

BAB 6: KESEJAHTERAAN SEKATA DAN SEADILNYA

49. Pemusatan sumber dan kawalan kewangan yang keterlaluan kepada Kerajaan Pusat menindas kerajaan-kerajaan negeri sehingga mewujudkan jurang ekonomi yang luas di antara wilayah-wilayah, terutamanya di antara Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Pantai Barat.

50. Oleh yang demikian, tumpuan yang jelas perlu diberikan untuk mempercepatkan pembangunan di wilayah-wilayah ini terutamanya pembinaan infrastruktur termasuklah jaringan lebuhraya-lebuhraya yang menghubungi seluruh Sabah dan Sarawak.

51. Konsep perkongsian sumber dan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri-negeri juga perlu dikaji semula untuk memastikan kebertanggungjawaban dan kepakaran pentadbiran dipadankan dengan sumber kewangan yang bertepatan.

52. Mengambil kira perkara-perkara ini, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memutuskan perkara-perkara berikut:

a. Pindaan kepada Akta Geran Kapita 2002 untuk beralih dari mekanisme bayaran tetap seperti sekarang kepada prinsip formula berdasarkan faktor-faktor seperti sumbangan ekonomi, keperluan pembangunan, pendapatan rakyat dan kedudukan sosio ekonomi setiap negeri;

b. Peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar; dan

c. Peruntukan khas sebanyak RM100 juta untuk program-program pembersihan dan pengindahan desa di seluruh negara.

BAB 7: MENGUKUHKAN ARUS REFORMASI RAKYAT

53. Semua perancangan ekonomi yang dibuat hanyalah kekal menjadi diskusi akademik kecuali disertakan dengan iltizam untuk melaksanakan reformasi politik dan pentadbiran.

54. Suasana yang kondusif akan diwujudkan yang secara langsung membolehkan perubahan-perubahan ekonomi berlaku bila mana sistem pentadbiran dan dokongan adalah telus, amanah, bertanggungjawab dan berasaskan kerangka tata kelola yang baik.

55. Akhirnya, perbezaan ketara di antara Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat yang mengangkat Kesejahteraan Untuk Semua, dengan belanjawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri adalah dari segi siapa yang boleh melaksanakan reformasi-reformasi ekonomi ini dengan berkesan.

56. Sebab itu kita tidak boleh lari dari pengajaran Kitab al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun, yang antara lain menggambarkan kemusnahan apabila pimpinan kerajaan bergelumang dengan “salah laku, buruk akhlak, ketidakikhlasan dan tipu daya untuk mengaut kekayaan. Hati mereka memikirkan dan mencari jalan untuk menggunakan semua helah bagi tujuan itu. Akibatnya rakyat pun turut terheret dengan penipuan, perjudian, kecurian dan riba”.

57. Rakyat berhak mempersoalkan keikhlasan dan komitmen Barisan Nasional untuk menjalankan reformasi – baik reformasi politik, ekonomi atau sosial kerana rekod caca merba dan tipu daya mereka yang bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan mereka bahawa rakyat mudah lupa. Sebab itu Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri tetapi kemudiannya menyebut pula akta gantian – maknanya perkara yang sama, Cuma sanggul dan cincin yang berbeza sebagai hiasan.

58. Dalam kehangatan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13, rakyat juga tidak boleh alpa dengan pelbagai laporan dan bukti yang mempersoalkan ketulusan dan integriti daftar pemilih. Kalau selama ini kita percaya pelbagai helah digunakan untuk membenarkan pengundi hantu merosakkan amalan demokrasi di negara ini, pengesahan terbaru mengenai pemberian hak mengundi kepada warga negara Bangladesh mengukuhkan lagi persepsi rakyat bahawa Suruhanjaya Pilihanraya adalah tidak telus.

59. Oleh yang demikian, seluruh rancangan ekonomi perlu dijalankan seiringan dengan proses reformasi politik dan pentadbiran. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut untuk mengukuhkan lagi arus reformasi rakyat:

a. Melaksanakan sepenuhnya janji-janji di dalam Buku Jingga termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, akta-akta bersabit media dan percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti dan Kolej Universiti;

b. Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti yang dicadangkan Pakatan Rakyat dalam tahun 2011 untuk memansuhkan semua peruntukan undang-undang yang bertentangan dengan amalan demokratik;

c. Melaksanakan serta-merta semua tuntutan BERSIH2.0;

d. Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam dan lain-lain supaya bertanggungjawa terus kepada Parlimen;

e. Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara yang dibentangkan ke Parlimen bersama-sama dengan laporan Ketua Audit Negara; dan

f. Pembentukan tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahaskan belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.

PENUTUP

60. Malaysia adalah sebuah negara yang dirahmati dan diberkati. Rakyatnya telah membuktikan bahawa semua cabaran yang getir boleh diatasi bersama melalui muafakat, persefahaman dan hormat-menghormati.

61. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat melihat rakyat sebagai aset pertama negara dan sewajarnya diangkat martabat rakyat untuk sama-sama menyumbang kepada kesejahteraan semua. Rakyat adalah tuan punya negara ini, rakyat bukannya khadam atau pekerja yang membanting tulang menagih ehsan pemerintah atau golongan mahakaya.

62. Belanjawan 2012 ini juga memberi gambaran sebuah negara yang berbeza di bawah Pakatan Rakyat. Berbeza ekonominya, rancak proses demokrasinya dan telus pentadbirannya.

63. Saya memohon doa supaya Belanjawan 2012 ini memberi peluang untuk semua pihak memainkan peranan bersama-ama membawa Malaysia ke tempat yang lebih sejahtera, lebih aman dan lebih adil.

64. Sekian, terima kasih.

SAIFUL PENYOKONG KUAT BN

Identiti dan watak sebenar Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes fitnah membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus dibongkar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, apabila peguam memanggil saksi terbaru mereka.

Saksi misteri yang ditampilkan peguam itu adalah bekas rakan sekolej Saiful sendiri, yang pernah bersama belajar di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Pendedahan saksi berkenaan mengesahkan lagi konspirasi yang dilakukan Umno-BN untuk menghancur dan menjatuhkan reputasi Anwar sebagai Ketua Pembangkang dengan tuduhan fitnah.

Mohd Najwan Halimi, saksi yang tampil mendedahkan watak sebenar Saiful Bukhari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini
Mohd Najwan Halimi dipanggil pada jam 11.22 pagi ketika mahkamah bersambung selepas mendengar keterangan Pengarah Jabatan Forensik, Jabatan Kimia, Lim Kong Boon.

Beliau kini merupakan pembantu Anwar selaku Penasihat Ekonomi Selangor.

Dalam keterangannya di mahkamah, Najwan memberitahu beliau mengenali Saiful sejak 2003 dan tinggal berdekatan biliknya di Uniten.

“Saiful mahasiswa yang aktif dan mempunyai kualiti kepimpinan. Saya dan Saiful terlibat dalam program Baktisiswa.

“Dia ada kepimpinan tetapi suka publisiti,” katanya.

Menurut Najwan, program itu dilancarkan bekas menteri dalam negeri Tan Sri Syed Hamid Albar dan Saiful ketika itu timbalan presiden program dan Setiausaha Majlis Pimpinan Pelajar.

Najwan berkata, beliau melihat laman sosial Friendster milik Saiful dan melihat banyak gambarnya dengan pemimpin BN, termasuk Syed Hamid Albar, Mustapa Mohamed dan Azalina Said Othman.

“Pada 2008, Saiful meletakkan dirinya sebagai penyokong BN dan menyisytiharkan bahawa Anwar munafik,” katanya di mahkamah.

Menurut Najwan, Saiful juga pernah membantu kempen pilihan raya untuk Barisan Nasional (BN) pada 2008. Beliau menafikan Saiful mengagumi ketokohan Anwar, sebaliknya sangat membenci Ketua Umum KEADILAN itu, seperti diakui Saiful sendiri.

“Dia benci Anwar,” kata Najwan.

Ketika disoal balas oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Najwan menjelaskan beliau pernah berkhidmat dengan ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, Kementerian Pengangkutan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum itu.

BUANG SIFAT MANJA,AYUH JADI PEJUANG

BERSYUKURLAH kita dengan limpahan nikmat kemudahan pada zaman yang serba canggih dan moden ini. Jika kita tidak bersyukur jadilah kita orang yang kufur dan nikmat itu akan menjadi bala, malapetaka serta azab.

Raya sudah, merdeka pun sudah cuma orang yang meraikannya perlu bebas dari cengkaman penjajahan nafsu dan beraya pula setelah berpuasa dengan jiwa baru serta peribadi yang lebih berdisip­lin hasil tarbiah Ramadan.

Hari raya adalah lambang perjuangan. Begitu juga dengan kemerdekaan yang kita miliki adalah hasil perjuangan.

Hidup ini perlu berjuang, berani hidup berani berjuang, berani berkorban, kalau tak berani berkorban jangan berjuang dan kalau tak berani berjuang berhentilah hidup.

Kali ini penulis mahu mengajak remaja untuk menjadi pejuang bukannya menjadi terlalu manja. Hidup bukan hanya menunggu tetapi memburu, hidup untuk memerhati bukan hanya ingin diperhati, hidup bukan menunggu bantuan tetapi kita yang membantu.

Hari ini remaja mula nampak terlalu manja. Semuanya perlu disediakan, disogok dan dihidangkan di depan mata. Mereka tidak reti hidup susah dan jika diuji dengan kesu­sahan mereka mula merungut dan bising.

Kalau panas sikit bising, kalau busuk sikit bising, belajar banyak sikit mula rimas. Mereka ingin semuanya ‘instant’ tanpa perlu bersusah payah.

Bila bekerja hendak cepat naik, lambat sikit kenaikan terus tukar kerja, kalau kerja berat sikit cari kerja lain, kena tegur cepat melenting dan terus berhenti kerja.

Anak remaja pula pantang dimarah. Apabila ditegur mudah benar keluar rumah, cikgu marah sikit sudah tak nampak muka di sekolah, ada yang ponteng atau tukar sekolah.

Yang buat perniagaan nak cepat kaya hingga tak kira pula cara dan proses mendapatkannya. Kena pujuk sikit sudah cepat lupa walaupun menjadi alat kepada sindiket antarabangsa gara-gara hendak senang dan seronok, walaupun sudah banyak kali di laporkan berita di akhbar.

Artis dan penyanyi mahu cepat popular dan terkenal kerana masing-masing sudah meletakkan sasaran tetapi yang salahnya sanggup melakukan apa saja bukan kerana bakat atau dan kebolehan yang dimilikinya.

Orang politik pun terkena juga kerana mahu cepat masuk ‘ranking’. Cara lama ada tapi lambat. Sebenarnya bukan semua yang terbabit tetapi ia sudah nampak parah.

Nak salahkan mereka 100 peratus memang tidak boleh dan tak patutlah. Mereka memang terdidik dalam budaya cepat atau ‘instant’ berkenaan.

Lihatlah sekarang, hendak kirim berita tidak perlu ke pejabat pos lagi kerana sudah cukup dengan menghantar sms atau e-mail. Jumpa kawan sekarang hanya membuka laman sosial facebook, hendak tahu berita dunia tidak perlu ke kedai membeli akhbar kerana semuanya hanya di hujung jari.

Malah membeli-belah juga ada yang tidak perlu bersusah payah pergi pusat membeli-belah kerana semuanya menerusi pembelian secara online atau kad kredit barang boleh sampai terus ke pintu rumah.

Segala kecanggihan yang sedang kita nikmati hasil perahan tenaga dan daya juang berfikir yang tidak pernah kenal erti penat lelah.

Kita tahu semua ini bukan lahir sekelip mata seperti Aladdin dengan lampu ajaibnya. Kita tak tahu mungkin beribu kali mereka gagal ketika proses menterjemah impian di hati dan fikiran kepada realiti teknologi.


Sebagai pengguna kita hanya mengguna benda mati ini untuk membantu kita hidup tetapi mereka yang hidup hatinya berfikir bagaimana nak menghidupkan fikiran dan kreativiti setelah menggunakan benda mati ini.

Sedarlah bahawa kejayaan dan pencapaian itu ada masa dan ‘edahnya’. Hendak jadi doktor pakar ada edahnya, nak jadi akauntan ada tempoh masanya, nak jadi jurutera ada perlu masanya, nak jadi seorang ulama dan pendakwah apatah lagi sangat memerlukan masa dan ketekunan ilmu serta kefahaman.

Kemanjaan memang naluri percintaan dan kasih sayang tetapi jiwa pejuang jangan tidak boleh sangat dimanjakan sebab orang yang manja tidak boleh di ajak berjuang.



Kepada orang tua, didiklah generasi kita mengenai proses untuk mendapatkan sesuatu dan dari situ barulah mereka sedar dan faham sejarah terjadinya sesuatu.

Nabi Muhammad s.a.w melalui proses amat getir sebelum mencipta kecemerlangan.


Kalau kita jumpa orang-orang hebat mereka tidak bercerita mengenai harta, pangkat, sanjungan yang dimiliki tetapi mereka berkisar mengenai susah payah mereka mendaki ke puncak.


Orang manja hanya ingin diperhati bukannya memberi perhatian.

Yang manja-manja hanya mahu dihargai bukannya menghargai, mudah memberi kritikan tetapi tidak ada aksi. Buangkan sifat manja dan buktikan kita bersiap sedia bekerja untuk agama bangsa dan negara.

kedahlanie

Sunday, July 31, 2011

Sunday, July 17, 2011

MP TITIWANGSA MENINGGAL DUNIA

Ahli parlimen PAS Titiwangsa, Dr Lo Lo' Mohd Ghazali meninggal dunia pada jam 10.13 malam ini di Hospital Selayang Hospital di Kuala Lumpur. Allahyarhamah berusia 54 tahun.

Berita kematian Allahyarhamah dimaklumkan dalam laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarga.

Siang tadi Dr Lo' Lo' berada dalam keadaan kritikal daripada penyakit barah yang dialaminya.

Dr Lo' Lo' adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.

Beliau sangat aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya kepasda parlimen Tititwangsa, yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Bagaimanapun, pilihan raya kecil tidak akan diadakan kerana tempoh parlimen sudah melepasi tiga tahun.

Kerusi Titiwangsa hanya akan diisi apabila pilihan raya umum diadakan.

sementara itu, Harakahdaily melaporkan, anak Allahyarhamah, Muhd Fawwaz, memberitahu jenazah ibunya diuruskan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat pagi esok.

Seluruh warga amk kedah mengucapkan takhziah kepada keluarga DR LO' LO'...al fatihah

Monday, June 20, 2011

Konvensyen Pilihan Raya KEADILAN bukti politik matang

SHAH ALAM: Konvensyen Pilihan Raya KEADILAN yang pertama kali diadakan semalam, membuktikan parti itu kini sudah melangkaui politik matang, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

Ini kerana katanya, penganjuran konvensyen pilihan raya seumpama itu hanya dilakukan oleh parti politik di negara-negara maju yang memiliki tahap demokrasi yang tinggi.

“Perkara ini biasa dilakukan negara yang mengamalkan politik matang, dengan konvensyen ini, rakyat tahu jenama kita, 100 peratus membawakan perbezaan. Dalam konvensyen ini kita dapat berinteraksi dengan lebih jelas dengan perwakilan.

“Objektif yang jelas melalui konvensyen semalam adalah untuk memperkenalkan penjenamaan KEADILAN dan menyampaikan maklumat kempen dengan arahan yang lebih jelas,” katanya.

Kata Rafizi, kejayaan konvensyen itu juga dapat disaksikan menerusi sambutan luar biasa daripada perwakilan seluruh negara- rata-ratanya petugas pilihan raya- termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Sambutan konvesyen semalam adalah di luar jangkaan kerana jumlah yang hadir mencecah 4000 orang. Ini yang dikatakan rakyat sudah mula budaya baru yang dibawa KEADILAN.

“Kita keluarkan penyertaan kepada 20 hingga 30 orang perwakilan mewakili negeri dan Cabang, tapi yang hadir lebih daripada itu. Kesemua adalah petugas pilihan raya,” kata Rafizi yang juga Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Dalam pada itu, katanya, maklumat dan agenda pilihan raya dalam konvensyen berkenaan disampaikan dengan gaya santai, menghiburkan dan menarik termasuk aplikasi mutlimedia- seperti tayangan video.

“Dengan menampilkan slot tayangan video, persembahan yang progresif dan berjiwa muda- konvensyen ini selaras dengan perkembangan politik baru,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu simbolik kepada tema pilihan raya KEADILAN berbunyi “Demi Rakyat” mampu memperkuatkan momentum sokongan pengundi kepada parti itu.

Ekoran sambutan hangat konvensyen berkenaan, katanya, kira-kira 300 ketua cabang KEADILAN seluruh negara mengemukakan permintaan untuk bertemu Anwar secara tertutup, sejurus konvensyen berakhir.

“Semangat begini yang kita mahukan daripada semua Ketua Cabang bagi menunjukkan contoh terbaik. Semangat mereka panas, tidak perlu dibangkit daripada tidur,” ujarnya.

Kak Zu – Setiausaha Kerja Pusat KEADILAN meninggal dunia


KUALA LUMPUR: Kakitangan di Ibu Pejabat KEADILAN, Zuraidah Abu Hassan yang bertugas sebagai Setiausaha Kerja Pusat, meninggal dunia selepas mengalami serangan angin ahmar.

Zuraidah, atau lebih dikenali sebagai Kak Zu, menghembuskan nafas terakhir pada usia 57 tahun, petang tadi.

Zuraida ditemui rakan serumahnya, selepas dipercayai jatuh di rumahnya antara pukul 6.30 petang hingga pukul 9.30 malam semalam,.

Menurut Pengarah Operasi Pejabat Setiausaha Agung KEADILAN, Sharifah Shahidah berkata, Allahyarhamah selepas itu dikejar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan mengalami koma.

Turut menziarahi allahyarhamah semalam, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Jenazah allahyarhamah, dijangka akan dikebumikan di tanah kelahirannya di Melaka.

Sementara itu, ucapan takziah dinyatakan bertalu-talu oleh pimpinan KEADILAN melalui laman Twitter dan Facebook.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan takziah di atas pemergian allahyarhamah di laman twitter beliau.

Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution pula menyifatkan allahyarhamah sebagai kakitangan yang berdedikasi.

“PKR kehilangan staf paling dedikasi Zuraidah Abu Hassan, moga Allah swt cucuri rahmat …AlFatihah,” ujarnya.

Setiausaha Pengelola KEADILAN, Radin Shamsul Kamal ketika dihubungi berkata, allahyarhamah bertugas dengan KEADILAN sejak 2005, sebagai Setiausaha Kerja Negeri Melaka, sebelum berpindah ke Ibu Pejabat KEADILAN.

Beliau menyifatkan Zuraidah sebagai seorang kakitangan yang rajin, peramah serta disenangi di kalangan kakitangan KEADILAN

Tuesday, June 14, 2011

Sunday, May 29, 2011

17 ahli majlis Sg Petani mogok


Sekumpulan ahli majlis menggesa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak campurtangan bagi menolak pengerusi bagi kawasan perbandaran Sungai Petani.

Mereka mengaku sudah hilang keyakinan pada pentadbiran Rozaina Radzi.

Semalam, seramai 17 daripada ahli majlis itu bertindak keluar daripada mesyuarat kewangan bulanan semalam akibat tidak puas hati.

Difahamkan, perasaan tidak puas hati yang mendalam itu berpunca daripada perobohan 16 gerai penjaja berhampiran Kelab Cinta Sayang pada Khamis lalu.

Menurut seorang ahli majlis, Simon Ooi (kanan), kumpulan 17 orang itu memutuskan tidak akan hadir dalam sebarang majlis sehingga Rozaina dan setiausaha majlis digugurkan.

"Walaupun insiden perobohan itu menyebabkan kami keluar dewan, kami turut sedar Rozaina gagal bekerjasama membawa banyak pembangunan ke Sungai Petani sejak sekian lama," kata Simon.

"Apabila kami mencadangkan beberapa projek pembangunan seperti pembinaan stesen bas dan pasar untuk orang ramai, tetap tiada tindakan susulan, maklum balas atau taklimat daripadanya sama sekali."

Simon yang juga setiausaha politik kepada anggota parlimen Singai Petani Datuk Johari Abdul berkata, kumpulan itu telah berunding dengan Azizan.

Dalam masa yang sama, tambahnya, ahli majlis daripada PKR memaklumkan pada ketua negeri berhubung tindakan mereka itu.

SIMON OII MERUPAKAN NAIB KETUA AMK KEDAH

Saturday, May 28, 2011

AMK KEDAH GEMPUR DUN LUNAS





AMKE KEDAH telah mengadakan aktiviti BORANG KAJI SELIDIK(BKS) DI DUN LUNAS.Memandangkan ADUN LUNAS telah lompat mejadi bebas maka iniseatif ini di ambil untuk melihat pola pengundi dan tahap sokongan pengundi kepada PARTI KEADILAN RAKYAT.Walau pun PARTI KEADILAN RAKYAT di serang seharian di dalam media arus perdana usaha,demi mempertahankan kemenangan usaha tetap di teruskan dengan AMK KEDAH bergerak kehadapan.

KEPADA PENGUNDI DI DUN LUNAS TERIMA KASIH KERANA MASIH BERSAMA PARTI KEADILAN RAKYAT

Thursday, May 26, 2011

Saiful Izham optimis ubah pandangan rakyat terhadap Dewan Negara

KUALA LUMPUR: Senator baru mewakili Kedah bagi penggal kedua, Saiful Izham Ramli akan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 30 Mei ini di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-16, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Menurut Saiful Izham, pelantikan beliau itu diputuskan oleh kerajaan negeri Kedah bagi menggantikan Senatornya sebelum ini, Ir Zamri Yusuf.

“Perkara ini diputuskan oleh kerajaan negeri pada April lalu selepas mesyuarat dengan Ahli Jawatankuasa negeri.

“Tempoh berkuatkuasa jawatan saya itu bermula 20 Mei lalu dengan surat pengesahan daripada kerajaan negeri,” kata Saiful ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Beliau yang juga bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, berkata agenda utama yang akan dibawanya adalah mengubah pandangan rakyat terhadap fungsi dan peranan Dewan Negara.

“Saya ingin membawakan Dewan Negara, sebagai sebuah badan yang lebih serius dan tegas dalam meluluskan rang undang-undang yang dibawa oleh Dewan Rakyat.

“Kalau kita lihat Dewan Negara di negara barat, mereka bukan sahaja menjadi ‘rubber stamp‘ kepada Dewan Rakyat, tapi mengkaji semula undang-undang yang dikemukakan oleh Dewan Rakyat.

“Di barat juga, mereka pernah menolak undang-undang yang dibentangkan di Dewan Rakyat sekiranya bertentangan dengan Perlembagaan Negara,” katanya yang juga seorang peguam.

Saiful berkata, beliau akan memberi fokus kepada isu-isu negeri selain masalah rasuah dan membabitkan generasi muda pada penggal kedua Dewan Negara Julai depan.

“Isu yang saya rasa masih perlu dibincangkan secara terperinci dan serius adalah berkaitan dengan orang muda, kalau kita tengok sendiri sebenarnya banyak projek diluluskan untuk orang muda, tetapi tidak mendatangkan manfaat kepada mereka.

“Contohnya, peruntukan terhadap belia banyak, tetapi isi kandungan bagi mana-mana projek tidak pernah dibincangkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Sunday, May 22, 2011

PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT MELAWAT ANAK YATIM YANG TERSELAMAT


KUALA LUMPUR 22 MEI : Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan jutaan takziah kepada keluarga, pewaris mangsa dan pihak rumah anak yatim yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini semalam.

Beliau turut menggesa kajian menyeluruh dilakukan ke atas bangunan dan kawasan sekitar insiden kerana bencana melibatkan kehilangan nyawa katanya tidak boleh diambil mudah.

Ia penting kata Azizah bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga yang telah kehilangan nyawa dan semualah yang telah ditimpa malapetaka ini tetapi kita mesti redha.

“(Namun) kita mesti cari penyelesaian kerana kalaulah tragedi ini berulang dan berlaku banyak kali, jadi kita mesti tengok puncanya. Apakah dengan pembangunan bangunan yang tanpa mengira persekitaran?,” katanya kepada TV Selangor selepas melawat mangsa yang terselamat di Hospital Ampang petang tadi.

Beliau turut diiringi isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut, Exco Selangor Rodziah Ismail dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Haniza Talha.

Dalam kejadian tanah runtuh semalam, 16 mangsa maut manakala sembilan lagi mengalami kecederaan dan dilaporkan dalam keadaan stabil kini.

Azizah turut mengingatkan tentang amalan beringat yang bersifat sementara di kalangan masyarakat.

Katanya, semua pihak seharusnya melihat dan belajar terhadap apa yang berlaku serta menjadikanya panduan supaya boleh mengharungi masa depan dengan lebih baik.

Jelasnya, peristiwa malang yang berlaku ini amat menyedihkan kerana ia melibatkan kehilangan nyawa yang besar serta di kalangan mereka yang masih anak-anak.

“Kadang kala kita nampak macam beringat sedikit bila lepas tragedi untuk seketika tetapi kejadian yang sama masih berulang.

“Nyawa (yang diambil seharusnya) menjadi pelajaran tetapi kita tak belajar dari pelajaran ini,” katanya. -tvsnews

Thursday, May 19, 2011

Usaha haramkan KEADILAN, alasan ROS aneh- Saifuddin


PETALING JAYA: Alasan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa KEADILAN melanggar salah satu fasal perlembagaan parti itu adalah aneh kerana ia tidak pernah wujud, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata, dalam surat tunjuk sebab yang dialamatkan kepada Presiden KEADILAN, ROS memberi alasan parti itu melanggar fasal 32.2.1 Undang-undang berdaftar parti dengan merujuk pemecatan Rajagopal a/l Andaikalam pada 2009.

“Fasal 32.2.1 tidak wujud dalam perlembagaan KEADILAN. Perkara aneh ini, mencerminkan niat jahat dan ‘mala fide’ ROS. Apakah ROS tidak membuat semakan perlembagaan KEADILAN yang diluluskan oleh mereka sendiri?,” soal Saifuddin ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN tengahari tadi.

Notis bertarikh 9 Mei 2011 itu ditandatangani Dato’ Abdul Rahman Othman, di bawah Kementerian Dalam Negeri di bawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966 yang mengancam untuk membatalkan pendaftaran KEADILAN selepas 9 Jun 2011.

Ia dikirim menerusi pos berdaftar dengan salinan turut dihantar kepada Presiden dan Bendahari Agung, menyatakan pendaftaran KEADILAN akan dibatal selepas 9 Jun melainkan parti itu menyatakan sebab.

Menurut Saifuddin, sekiranya alasan pemecatan ahli tanpa melalui lembaga disipin digunakan, ROS sepatutnya sudah lama mengharamkan Umno.

“Sebelum ini Umno memecat saya tanpa dihadapkan ke lembaga disiplin parti. Mengapa ROS tidak menggunakan alasan yang sama untuk mengharamkan Umno?,” katanya merujuk pemecatannya pada 20 September 1998 oleh Setiausaha Agung Umno ketika itu.

Tambah beliau, nama Rajagopal seperti yang tertera dalam surat berkenaan juga adalah salah kerana nama sebenarnya Jayagopal a/l Andaikalam.

Saifuddin berkata, Jayagopal dipecat melalui keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada mesyuarat bertarikh 26 April 2009 kerana bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Selambau sebagai calon bebas.

“Fakta ini diketahui umum dan boleh didapati dari laman web Suruhanjaya Pilihan Raya. Ia tidak boleh dinafikan. Justeru, adalah amat jelas dalam kes ini, penama tidak perlu dirujuk atas apa jua siasatan.

“Mana-mana parti politik tidak akan menerima keadaan di mana seorang anggotanya bertanding menentang parti sendiri,” kata Saifuddin sambil menambah, notis jawapan akan dihantar kepada ROS petang ini.

Sementara itu, Ahli Biro Politik KEAIDILAN, Sivarasa Rasiah berkata perkara pemecatan yang dibangkitkan tidak ada kena mengena dengan ROS memandangkan ia adalah isu dalaman parti.

“Inilah pertama kalinya dalam sejarah, apabila kita dengar isu pemecatan ahli dijadikan alasan untuk membatalkan pendaftaran parti. Saya yakin ada tangan Umno dan Barisan Nasional di belakang tindakan ini.

“Perkara ini cukup remeh dan bodoh yang cuba dilakukan untuk memberikan implikasi serius kepada KEADILAN. Tambahan dalam keadaan kita menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat,” ujar Siva.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=13668

LAWATAN KETUA AMK MALAYSIA KE KEDAH


Tuesday, May 17, 2011

AMK CABAR NAJIB


KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN Malaysia (AMK) mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengadakan debat khas dengan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden AMK, Azmizam Zaman Huri berkata, Najib perlu menerima pelawaan itu sekiranya beliau ikhlas menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dan demi kepentingan rakyat.

“Debat cara terbaik untuk memberi peluang kepada Anwar untuk menyatakan kebenaran kerana kita tahu media selama ini tidak pernah memberi ruang kepada beliau untuk menjelaskan fitnah yang dihadapinya.

“Sekiranya Datuk Seri Najib boleh diberi ruang di dalam radio untuk sampaikan misi dan visi, sepatutnya Anwar juga diberi peluang untuk menjelaskan segala-galanya kepada rakyat,” ujar beliau kepada Keadilandaily.com

Baru-baru ini, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menggesa Najib mengadakan debat khas dengan Anwar bagi menentukan kesalahan yang pernah dilakukan bapanya.

Pada masa yang sama, Izzah turut memohon Perdana Menteri mengarahkan pihak yang tidak bertanggungjawab menghentikan fitnah, sebaliknya mengadakan debat sebagai medan mendedahkan kesalahan yang dilakukan Anwar, khususnya dalam pentadbiran negara ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Izzah lagi, perancangan fitnah yang jahat dan jijik seperti isu liwat dan video seks tidak perlu dilakukan kerana ia bukan sahaja mengaibkan keluarganya tetapi juga memburukkan imej negara di mata umum.

Mengulas lanjut, Azmizam berkata, debat itu boleh diadakan bukan sahaja menjurus kepada tuduhan peribadi, tetapi juga menyentuh masalah ekonomi dan politik semasa yang semakin haru.

“Debat itu nanti juga boleh menentukan ke mana arah tuju nak dihala kan Malaysia kerana kita tengok hala tuju Umno kini ke arah video lucah,” ujarnya.

Tambah Azmizam, medan itu juga sesuai untuk merungkai apakah kesalahan yang pernah dilakukan Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan satu masa dahulu.

“Kita ambil contoh semasa Mahathir menjadi perdana menteri. Jika saya pada masa itu Timbalan perdana Menteri, kalau lah saya nak selamatkan diri sudah tentu saya akan ikut saja arahan Dr mahathir.

“Sebagai Menteri Kewangan, Anwar boleh ikut saja arahan Dr Mahathir untuk mengguna pakai wang rakyat seperti Tabung Haji, Petronas dan KWSP untuk menyelamatkan konsortium perkapalan dan pelbagai projek mega melibatkan projek kroni Umno,” katanya.

Tambah beliau, sejak Dr Mahathir mengambil alih kementerian kewangan, langkah itu diikuti perdana menteri selepasnya yang juga berkuasa penuh ke atas kementerian berkenaan.

“Jadi siapa yang nak check and balance. Ibarat saya ini Pengerusi persatuan penduduk, saya juga bendahari.

“Perkara itu berlarutan ketika zaman Pak Lah (Abdullah Badawi) sebagai PM, Khairy Jamaluddin berkuasa penuh dan banyak projek yang diperolehnya seperti ECM Libra. Dengan mudah dia menjadi jutawan segera sebab bapa mertuanya menteri kewangan.

“Di Zaman Najib pula, kita lihat Rosmah pula yang bermaharajalela malah lebih hebat dari Ketua Wanita Umno,” ujarnya.

Keadilandaily

Wednesday, May 11, 2011

Pertemuan dua jam MB-UMNO jelaskan pelbagai kekeliruan


Sikap terbuka Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Razak membuahkan hasil yang baik apabila wakil Badan Perhubungan UMNO Kedah melalui Pengerusi Biro Pendidikan, Dato’ Abdul Aziz Sheikh Fadzir hadir di pejabatnya

untuk menyerahkan rayuan pengekalan rebat cukai tanah Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Kerajaan negeri akan menimbang semula rayuan itu tapi kita minta ia dibuat terus oleh Kementerian Pengajian Tinggi kerana kementerian itu bertanggungjawab mentadbir UUM secara langsung,” kata Azizan.

Tambahnya lagi, walaupun kerajaan negeri menerima kekangan dari kerajaan pusat namun perkara-perkara yang melibatkan pendidikan adalah menjadi keperluan dan sebahagian agenda kerajaan negeri.



“Saya memang menerima surat dari pihak UUM mengenai rayuan berkenaan tetapi buat masa sekarang kita belum mendapat sokongan dari Pejabat Tanah dan Galian. Mereka memikirkan pengurangan tersebut akan mengurangkan pendapatan kerajaan negeri hampir RM8 juta.

“Walau bagaimana pun mereka bersetuju membawa perkara tersebut ke peringkat kerajaan negeri untuk dibincangkan,” tegasnya lagi.

Pertemuan wakil Perhubungan UMNO Kedah bersamanya juga turut menceritakan agenda-agenda kerajaan negeri yang dilaksanakan untuk kebaikan rakyat Kedah. Pertemuan yang berlangsung hampir dua jam dalam suasana penuh kemesraan itu memperlihatkan sikap terbukanya untuk kebaikan rakyat Kedah tanpa mengira fahaman politik.

Dengan penjelasan dari beliau sendiri, secara tidak langsung menolak dakwaan dan spekulasi liar tidak berasas yang dibangkitkan mengenai isu tersebut.

Selesai perbincangan Menteri Besar dan rombongan dari Badan Perhubungan UMNO Kedah itu sama-sama menikmati makan tengahari di pejabat Menteri Besar.

Monday, May 9, 2011

UUM OH UUM.....

Buletin Utama TV3 cuba memanipulasi isu penolakan rebat cukai tanah yang dipohon UUM. Pihak UUM sebelum ini telah merayu kerajaan negeri Kedah memberikan rebat cukai tanah sehingga mereka hanya perlu membayar RM100 ribu sahaja seperti yang dinikmati pada 2006-2008, berbanding RM1.74 juta nilai cukai tanah sebenar. UUM meminta kadar semurah itu untuk tempoh lima tahun lagi.
Cukai tanah bagi tahun 2011 sepatutnya perlu dijelaskan segera untuk mengelak dari didenda. Tarikh akhirnya ialah 1 Jun 2011.

Antara alasan yang dikemukakan UUM dalam rayuannya untuk mendapatkan rebat ialah UUM bukan institusi pengajian tinggi yang berorientasikan keuntungan. Benarkah langsung tidak berorientasikan keuntungan? Tahun lalu UUM mengumumkan keuntungan bagi syarikat-syarikat di bawah IPTA itu adalah sebanyak RM80 juta. Semua keuntungan itu dibuat di atas tanah yang dikategorikan untuk IPTA, bukan tanah premis perniagaan. Apa salahnya gunakan keuntungan besar yang ‘tidak disengajakan’ itu untuk menjelaskan cukai.

Satu lagi alasan yang diberikan ialah keluasan tanah UUM adalah 1,104.3 hektar tetapi hanya 57% dari keluasan tanah tersebut atau 627.8 hektar sahaja yang dibangunkan. Orang kampung yang mengusahakan sawah padi tetap perlu membayar cukai tanah meskipun pada tahun tertentu sawah mereka dilanda banjir, mereka tidak pernah menggunakan hujah ‘ala UUM’ untuk meminta rebat cukai.

Kadar cukai tanah yang dikenakan ke atas UUM ialah RM0.20 bagi satu meter persegi, bermakna jumlah keseluruhan ialah RM1,744,357.00. Bagaimanapun berlaku pengambilan sejumlah kecil tanah UUM iaitu 3119.3662 meter persegi menyebabkan taksiran cukai berkurang menjadi RM1,743,735.00.

Kadar RM0.20 bagi satu meter persegi adalah kadar cukai tanah mengikut semakanhasil tanah pada 2005 yang menjadikan cukai tanah UUM sebanyak RM1,743,735.00. Cukai tersebut tidak dikira mengikut rebat cukai yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2008 iaitu pada kadar RM0.30 bagi satu meter persegi. Jika rebat tersebut diikuti maka cukai tanah yang baru bagi UUM ialah RM2,615,602.00!

Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah dilaporkan tidak bersetuju terhadap rebat oleh UUM itu kerana ia boleh dijadikan ‘precedent case’ atau kes duluan untuk dijadikan rujukan. Hasil yang diperolehi oleh kerajaan negeri Kedah dari tanah-tanah milik Persekutuan di negeri ialah RM31 juta setahun.

Jika UUM diberikan rebat, bayangkan jika semua jabatan Persekutuan tersebut, khususnya IPTA membuat rayuan terhadap kerajaan negeri menggunakan alasan yang sama yang digunakan UUM; maka ia meletakkan kerajaan negeri dalam dilema kerana tidak adil dalam melayan pembayar cukai tanah. UiTM Merbok dikenakan cukai RM0.55 untuk satu meter persegi, lebih sekali ganda dari yang ditanggung UUM. Bagaimana jika UiTM Merbok turut meminta rebat, kerana alasan mereka lebih kuat untuk meminta rebat?

Sepanjang tiga tahun memberi rebat pada UUM (2006-2009) kerajaan negeri telah kehilangan hasil sebanyak RM4,933,071.00. Sekiranya permohonan untuk mendapat jumlah rebat yang sama dipanjangkan lagi selama lima tahun maka negeri akan kehilangan hasil sebanyak RM8,218,675.00. Jumlah tersebut adalah terlalu besar untuk bukan sebuah negeri maju macam Kedah.

Jika pihak UUM masing ‘membuat bising’ kononnya kadar cukai tanah RM0.20 satu meter persegi yang dikenakan terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar, maka eloknya kita meneliti kadar cukai tanah yang dikenakan terhadap IPTA di negeri lain sebagai rujukan.

USM Pulau Pinang dikenakan cukai RM2.58 bagi setiap meter persegi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMEPS) RM0.50 satu meter persegi, IPTA di negeri Selangor RM0.39 untuk satu meter persegi. Manakala semua premis milik Pusat seperti sekolah, balai polis, hospital dan lain-lain yang didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan maka kadar untuk satu meter persegi ialah RM0.55. Semua premis tersebut tidak sibuk meminta rebat, UUM pula yang tiba-tiba menjadi ‘Universiti Uzur Malaysia’ yang perlu diberi rebat. Miskin sangat ke?

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khaled Nordin mengeluarkan kenyataan yang berpihak kepada UUM. Cakapnya ‘double standard’ kerana dia tidak mengulas hal yang sama bagi UNIMEPS atau mana-mana IPTA yang terletak di negeri-negeri ditadbir BN. Sepatutnya negeri BN menjadi contoh dalam memberi rebat ‘gila-gila’ itu kepada semua IPTA yang terdapat di negeri masing-masing, tapi ia tidak berlaku.

Di Kedah, di mana sahaja ceramah politik BN diadakan maka isu cukai tanah UUM menjadi isu wajib untuk diulas. Ini menunjukkan bahawa permohonan rebat oleh UUM terhadap kerajaan negeri bukan ikhlas demi pembangunan pendidikan tetapi lebih menjurus kepada provokasi politik.

Apabila nanti kerajaan negeri menolak maka bolehlah jentera propaganda mereka menjelaskan kepada seluruh rakyat jelata bahawa kerajaan negeri menindas institusi pengajian tinggi. Jika itulah maksud yang tersirat dari apa yang tersurat, maka ‘eloklah’ mereka meneruskan niat busuk tersebut.

Soalan politik yang mereka ajukan kepada kerajaan negeri sekarang ialah; jika masa BN dulu mereka boleh beri rebat, mengapa sekarang tidak?
Jawapannya begini:

1) Mengapa kerajaan negeri Perlis yang diperintah BN kini tidak memberi rebat kepada UNIMEPS yang kadar cukainya jauh lebih tinggi dari UUM? (Jawapan dalam bentuk soalan)

2) Kerajaan negeri dulu hilang hasil dari RM4,933,071.00 akibat pemberian rebat, tetapi perbelanjaan pengurusan negeri terutamanya dalam bidang kebajikan rakyat banyak diambil alih oleh Pusat akibat kelemahan kerajaan negeri pada masa itu. Sekarang kerajaan perlu berdikari kerana bantuan Pusat tidak lagi melalui negeri. Sekalipun Kedah masih dibawah pemerintahan kerajaan BN Pusat namun Kedah adalah antara negeri yang dianaktirikan oleh BN Pusat. Ramai dari senarai penerima bantuan E-Kasih ditamatkan bantuan bulanan oleh Pusat sedangkan senarai E-Sinar di bawah negeri terus menerima bantuan.

3) Di samping perlukan dana untuk pembangunan negeri dan kebajikan rakyat, kerajaan negeri kini terpaksa menjelaskan hutang tinggalan BN lalu sebanyak RM2.3 Billion, di mana RM1.83 Billion darinya adalah hutang berkaitan air.

4) Kerajaan kini sangat mementingkan kebajikan rakyat, justeru akan mempastikan setiap sen duit yang menjadi hak rakyat diguna untuk kesejahteraan rakyat. Ini berbeza dengan kerajaan lalu yang lebih mementingkan ‘orang kaya’ (UUM) dari rakyat yang ramai masih miskin

Wednesday, May 4, 2011

KERAJAAN KEDAH BERI GERAN TANAH

ALOR SETAR: Seramai 1,249 peserta di empat buah Lembaga Kemajuan Tanah Pesekutuan (Felda) di Kedah boleh tersenyum gembira apabila Kerajaan Negeri akan memberi geran kepada individu yang mengusahakan tanah dengan keluasan keseluruhan 3,026 hektar.

Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah setuju untuk memberikan geran tanah berkenaan kepada peserta Felda Teloi Timur (2482 hektar), Felda Bukit Tangga (1496.5 hektar), Felda Laka Selatan (378.2 hektar) dan Felda Gunung Bungsu (490.9 hektar).

“Kerajaan Negeri dalam mesyuarat telah putuskan untuk beri geran tanah kepada peserta Felda seluas 3026 hektar bagi peneroka felda. Geran sendiri,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini.

Katanya, Kerajaan Negeri akan keluarkan geran milik sendiri bagi setiap peserta Felda berkenaan berkuatkuasa sekarang.

Beliau memberitahu jumlah peserta yang akan menerima geran tanah berkenaan ialah seramai 610 orang (Felda Teloi Timur), 374 (Felda Bukit Tangga), 85 (Felda Laka Selatan dan seramai 180 dari Felda Gunung Bungsu dengan jumlah keseluruhan 1,249 orang.

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang terlibat dan Kerajaan Negeri menghargai usaha mereka yang membantu kerajaan dalam meningkatkan bidang pertanian. -wartakedah.net

Bantuan JKM dihenti adalah senarai E-Kasih (Pusat) bukan E-Sinar (Negeri)

23 orang dari senarai penerima bantuan di kawasan Parlimen Padang Terap yang ditamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah penerima bantuan E-Kasih (bantuan kerajaan Pusat )

bukan E-Sinar (bantuan kerajaan Negeri). Menurut seorang pegawai JKM Padang Terap, bantuan kepada penerima-penerima tersebut ditamatkan kerana kedudukan mereka telah melepasi garis kemiskinan seperti yang telah ditetapkan oleh pihak JKM.

Mereka yang ditamatkan penerimaan bantuan terdiri 11 orang Bantuan Orang Tua, lapan orang Bantuan Ibu Tunggal dan empat orang Bantuan Orang Miskin.

Dari jumlah 23 orang tersebut, 16 darinya telah ditamatkan bantuan kerana mempunyai anak-anak yang boleh menyara kehidupan mereka, sementara dua orang didapati mempunyai tanah sawah dan perniagaan sendiri. Dua orang didapati mempunyai suami yang sihat dan masih bekerja dengan pendapatan yang baik dan seorang dipindahkan bantuan kepada anaknya seorang OKU. Sementara itu, salah seorang penerima telah berpindah ke kulim.

Status salah seorang dari 23 orang seorang terbabit yang dikatakan telah ditamatkan bantuan sebenarnya masih menerima bantuan tersebut dari JKM.

Pegawai terbabit memaklumkan, sekiranya dua orang dalam satu keluarga menerima bantuan, pihak JKM akan menamatkan salah seorang daripadanya. Contoh seperti penerima mempunyai anak OKU yang juga menerima bantuan maka bantuan akan berpindah kepada anaknya yang OKU sahaja.

Kaedah yang sama juga dilaksanakan oleh JKM di peringkat negeri, sekiranya mana-mana penerima bantuan didapati melepasi dari garis kemiskinan maka bantuan terbabit akan ditamatkan. Tetapi untuk kes OKU bantuan tetap diteruskan.

Sebelum ini ADUN (BN) Kuala Nerang dan ADUN (BN) Pedu mempersoalkan tindakan JKM menghentikan bantuan kepada penerima yang sebelum ini menerimanya.

utara online

Saturday, April 30, 2011

AMK selar Jawi subahat dalam sumpah laknat


KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan menyelar tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang turut bersekongkol apabila membenarkan tindakan sumpah laknat yang ingin dilakukan salah seorang Trio Datuk T, Datuk Shazryl Eskay Abdullah di sebuah masjid di Sentul hari ini.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau turut merasa terkejut apabila Pengarah Jawi, Che Mat Che Ali turut hadir bagi menjadi saksi acara angkat sumpah itu- yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

“Saya hairan kenapa ada wakil dari jabatan agama islam untuk menyaksikan sumpah laknat ini. Sedangkan kita telah buat laporan qazaf dan kita telah memberikan keterangan.

“Bagaimana Jawi bersedia untuk menjadi alat kepada pemerintah untuk bersekongkol dengan perkara-perkara taghut,” ujar Shamsul ketika mengadakan sidang media di masjid tersebut.

Hari ini, JAWI dalam kenyatannya membenarkan Eskay, untuk melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru Al As, di sini selepas solat jumaat, sebelum acara itu dibatalkan di saat akhir.


Che Mat Che Ali, turut hadir di masjid berkenaan, dikatakan untuk menjadi saksi sumpah laknat
Che Mat Che Ali dilapor berkata, tiada sebarang halangan untuk ahli perniagaan itu untuk berbuat demikian meskipun masjid berkenaan adalah di bawah pentadbiran agensi agama itu.

“Kita ingin memberitahu bahawa, tindakan ini tidak dibenarkan dalam agama Islam. Merujuk kepada ulama-ulama dan kitab-kitab syariah, menyatakan dengan jelas berkenaan dalam hal-hal yang berkaitan dengan tuduhan-tuduhan, jawapannya adalah qazaf,” kata shamsul.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang juga guru agama di bahagian kor agama angkatan tentera, (kagat) ustaz Hasbulllah Ismail berkata tindakan itu mencemar kesucian dan institusi perundangan agama Islam itu sendiri.

“Sumpah laknat ini adalah perkara terakhir yang dilakukan selepas melalui proses qazaf dan dakwaan di mahkamah.

“Manakala masjid bukanlah tempat untuk dilakukan perkara tersebut kerana mencemar kesucian rumah ibadat.

Beliau yang ditemui keadilandaily kesal dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang memanipulasikan rumah ibadat atas kepentingan politik.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=12500

Friday, April 29, 2011

Sumpah Eskay: Itu kerja orang jahil, kata bekas Mufti Wilayah


KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Md Hashim Yahya berkata sumpah yang tidak dilakukan menurut hukum syarak, diumpamakan sebagai kerja-kerja orang jahil.

Beliau diminta mengulas tindakan salah seorang trio datuk T, Shazryl Eskay Abdullah yang melakukan sumpah laknat di sebuah masjid di Sentul kira-kira pukul 4.15 petang tadi,

Ulama terkenal itu berkata, tidak ada peruntukan dalam undang-undang Islam yang membenarkan sumpah seperti yang dilakukan Eskay, berhubung tuduhan seks terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam hukum qazaf, iaitu peruntukan untuk sabitan kes zina dan liwat, pihak yang menuduh perlu membawa empat orang saksi terlebih dahulu.

“Sekiranya gagal membawa empat saksi, yang menuduh itu akan dikenakan hukuman qazaf sebanyak 80 rotan,” ujarnya ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Bagaimanapun, sumpah li’an iaitu sumpah laknat itu pula katanya, hanya tertakluk antara suami dan isteri sahaja dan tidak ada peruntukan selain itu dalam hukum Islam.

Tambah beliau, seseorang suami yang menuduh isterinya berzina perlu melalui prosedur perbicaraan di mahkamah terlebih dahulu di mana dia perlu mengemukakan empat saksi seperti yang digariskan Islam seperti tidak fasik dan membuat dosa-dosa besar.

Sekiranya tuduhan itu tidak dapat dibuktikan, katanya, mahkamah kemudian akan memerintahkan supaya kedua-duanya melakukan sumpah li’an.

“Mereka yang menuduh isterinya berzina tapi tak dapat bawa empat saksi, maka dibolehkan kedua-duanya bersumpah.

“Kalau tak dapat bawa empat saksi suami dan isteri melakukan zina, dengan perintah mahkamah boleh dilakukan sumpah li’an. Kalau mahkamah panggil untuk kedua-duanya bersumpah, mahkamah akan perintah untuk buang kes itu. Siapa yang bersalah, itu diserahkan kepada Allah untuk menentukan.

“Tetapi ia dengan perintah mahkamah, tak boleh sendiri-sendiri bersumpah. Kalau kedua-duanya bersumpah, yang menuduh tidak kena 80 rotan dan yang dituduh pula tidak kena had zina. Qadi pula akan menjatuhkan fasakh iaitu tidak boleh rujuk sampai bila-bila.

“Kalau bukan arahan mahkamah, apa faedahnya bersumpah. Ia tidak kena dengan hukum syarak,” ujar beliau.

Tambah beliau, dalam kes bersumpah yang cuba dilakukan Eskay, ia tidak memberi sebarang kesan atas pendakwaan dari sudut sistem perundangan Islam, malah semakin mengelirukan umat Islam.

“Ia tidak memberi kesan apa-apa, tambah mengelirukan umat Islam dan menyebabkan fitnah itu berterusan. Ini menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

“Ini kerja orang jahil dan tidak ada faedah.

“Kalau sumpah, orang hisap dadah, mencuri dan merompak pun boleh bersumpah dengan begitu mudah dan terlepas dari hukuman,” ujarnya.

Beliau mengulangi kisah yang terjadi kepada Hilal Bin Umaiya yang menuduh isterinya berzina dengan Sharik Bin Sahma seperti yang diceritakan dalam surah An Nur, ayat 6.

“Rasulullah kemudian berkata kepada Hilal, sekiranya dia tidak dapat membawa empat saksi, Hilal akan dihukum dengan 80 sebatan, walaupun Hilal mendakwa melihat dengan mata sendiri isterinya melakukan zina,” ujarnya

Thursday, April 28, 2011

PENJELASAN DARIPADA 'SADA'


Mengenai air kita tidak boleh buat kenyataan berlandas kepada persepsi tanpa membuat perkiraan yang betul. Saya ingin maklumkan bahawa semasa isu air di Universiti Utara Malaysia (UUM)

disensasikan pihak media, Syarikat Air Darul Aman (SADA) bukanlah duduk pada tahap tidak membuat apa-apa.”

Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif SADA Dato’ Azdmi Din pada sidang media di pejabatnya.

Terangnya, untuk menampung air kepada 33,037 jiwa warga universiti berkenaan Kerajaan Negeri telahpun membina loji yang berkapisti 50 juta meter padu sehari. Semua saluran paip yang melibatkan bekalan ke institusi itu sepanjang 35 kilometer telahpun siap 100 peratus bersama tiga kolam takungan yang hanya menunggu bekalan elektrik dari Tenaga Nasional tiga minggu lagi iaitu pada 15 Mei ini.

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak TNB yang bekalan elektrik akan siap 15 haribulan depan. Kerja-kerja kabel berkaitan sedang giat dijalankan di rumah pam Sebatin. Sekarang bekalan elektrik ini belum siap kerja-kerja pemasangan kabel sedang giat dijalankan. Begitu juga dengan rumah pam di Bukit Kayu Hitam akan siap serentak pada tarikh yang sama,” katanya.

Menurut beliau, sekarang SADA membekalkan 10 juta liter air sehari ke UUM dan jumlah ini adalah mencukupi bagi kegunaan 33,037 warga UUM.

“Pegguna yang seramai itu sepatutnya kita hanya bekal 8 juta liter sehari, namun disebabkan berlaku pembaziran air yang banyak iaitu 462,00 gelen air sehari di UUM menyebabkan bekalan air tidak cukup,” katanya.

Menurutnya lagi, kini fokus diberikan kepada loji di Padang Sanai yang berkapasiti 50 juta liter padu sehari sudah berjalan membekalkan air sekitar Padang Terap dan Padang Sanai dengan kapasiti sebanyak 5 juta padu sehari dan 10 juta liter padu ke Durian Burung.

Katanya, untuk percubaan sistem agihan ke UUM hanya mempunyai masa tiga minggu sahaja lagi dan selepas ini Kerajaan Negeri berharap isu ini boleh ditutup.

“(Itu hanya) selesai di pihak Kerajaan Negeri dan SADA. Tapi saya tak tahu pihak UUM. Dalam loji kapsiti 50 juta padu sehari ini sebahagian besar akan salurkan ke UUM sebanyak 30 juta liter padu sehari dan 5 juta liter padu akan salurkan ke Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Katanya, sebagai sahabat kepada Naib Canselor UUM Prof Dato’ Dr Mohamed Mustafa Ishak, beliau bersyukur sekiranya infrastruktur dalaman mengenai bekalan adalah sempurna seperti yang didakwa.

“Tapi sekiranya terdapat keadaan paip dan tangki tidak berada dalam tahap sepatutnya untuk membekal air kepada warganya, apabila bekalan air berkapasiti 30 juta liter padu disalurkan akan menyebabkan saluran paip meletup-letup,” katanya dengan ketawa.

Sambungnya lagi, selepas loji Padang Sanai beroperasi nanti SADA mampu membekal sehingga 20 hingga 30 juta liter padu air.

“Saya jawab cara professional bukan persepsi. Tahun lepas kita dah masuk masa pentadbiran lama dulu Dr Nordin Kardi sebagai NCnya. Bersama SPAN, kita tengok banyak benda perlu dibuat kajian di UUM. Nanti dia marah saya pula. Termasuk untuk menambah kapasiti loji takungan,” ujarnya.

Dato’ Azdmi bimbang, apabila bekalan air ditingkatkan nanti, termasuk bagi memenuhi kehendak NRW (air yang hilang akibat kebocoran) akan mengakibatkan sistem paip dalaman akan pecah akibat tidak dapat menampung tekanan.

Beliau berkata demikian berdasarkan pengalaman loji air di Lubuk Buntar yang membekalkan air di Bandar Baharu.

“Sepatutnya loji lama (Lubuk Buntar) dinaiktaraf bukan membina loji yang baru. Kapasiti loji baru terlalu tinggi tidak seimbang dengan jumlah pengguna dan akibatnya tiap bulan SADA terpaksa perbaiki paip yang pecah dan meletup akibat tekanan tinggi,” katanya.


Oleh itu, katanya, demi kebaikan semua pihak beliau memohon kebenaran dari pihak UUM untuk benarkan Pasukan Teknikal Sada masuk ke UUM tapi sekiranya UUM mahu lantik konsultan sendiri terserahlah.

Katanya, perkhidmatan yang SADA tawarkan adalah percuma tapi kalau lantik konsultan lain perlu perlukan kos. “Sekiranya UUM mahu berjimat kos itu boleh beli bantal cantik untuk tidur dengan selesa,” ujarnya.