SEMARAK REFORMASI

PANJI KEADILAN

Thursday, May 26, 2011

Saiful Izham optimis ubah pandangan rakyat terhadap Dewan Negara

KUALA LUMPUR: Senator baru mewakili Kedah bagi penggal kedua, Saiful Izham Ramli akan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 30 Mei ini di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-16, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Menurut Saiful Izham, pelantikan beliau itu diputuskan oleh kerajaan negeri Kedah bagi menggantikan Senatornya sebelum ini, Ir Zamri Yusuf.

“Perkara ini diputuskan oleh kerajaan negeri pada April lalu selepas mesyuarat dengan Ahli Jawatankuasa negeri.

“Tempoh berkuatkuasa jawatan saya itu bermula 20 Mei lalu dengan surat pengesahan daripada kerajaan negeri,” kata Saiful ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Beliau yang juga bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, berkata agenda utama yang akan dibawanya adalah mengubah pandangan rakyat terhadap fungsi dan peranan Dewan Negara.

“Saya ingin membawakan Dewan Negara, sebagai sebuah badan yang lebih serius dan tegas dalam meluluskan rang undang-undang yang dibawa oleh Dewan Rakyat.

“Kalau kita lihat Dewan Negara di negara barat, mereka bukan sahaja menjadi ‘rubber stamp‘ kepada Dewan Rakyat, tapi mengkaji semula undang-undang yang dikemukakan oleh Dewan Rakyat.

“Di barat juga, mereka pernah menolak undang-undang yang dibentangkan di Dewan Rakyat sekiranya bertentangan dengan Perlembagaan Negara,” katanya yang juga seorang peguam.

Saiful berkata, beliau akan memberi fokus kepada isu-isu negeri selain masalah rasuah dan membabitkan generasi muda pada penggal kedua Dewan Negara Julai depan.

“Isu yang saya rasa masih perlu dibincangkan secara terperinci dan serius adalah berkaitan dengan orang muda, kalau kita tengok sendiri sebenarnya banyak projek diluluskan untuk orang muda, tetapi tidak mendatangkan manfaat kepada mereka.

“Contohnya, peruntukan terhadap belia banyak, tetapi isi kandungan bagi mana-mana projek tidak pernah dibincangkan oleh kerajaan,” ujarnya.

No comments: