SEMARAK REFORMASI

PANJI KEADILAN

Saturday, March 21, 2009

PERANG FITNAH BERMULA DI BUKIT SELAMBAU

Belum pun reda dengan kejutan calon muka baru Pakatan Rakyat dari Parti Keadilan Rakyat, sdr Manikumar a/l Subramanian, Bukit Selambau dikejutkan pula dengan fitnah terbaru yang sedang cuba diwar-warkan oleh kelompok pengkhianat perjuangan parti yang didalangi oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Semalam blog KedahLanie dalam satu tulisan oleh penulis tamu, Jin Brabus mendedahkan bahawa kini wujud tuduhan baru bahawa kononnya 2 pemimpin kanan PKR Kedah dijanjikan KERETA BARU sekiranya sdr Manikumar berjaya dijadikan sebagai calon PKR dalam pilihanraya kecil Bukit Selambau kali ini. Fitnah tersebut juga mengatakan antara lainnya bahawa kedua-dua pimpinan kanan PKR negeri tersebut adalah antara mereka yang paling kuat melobi kepada Dato Seri Anwar agar sdr Manikumar terpilih sebagai calon.

Sumber-sumber blog n25bukitselambau mendapati bahawa fitnah tersebut rupa-rupanya ditujukan kepada Pengarah Pilihanraya negeri PKR, YB Dato’ Johari Abdul dan Pengarah Pilihanraya Kecil N25 Bukit Selambau, sdr Saiful Izham Ramli, yang juga merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri Kedah serta Naib Ketua PKR Bahagian Merbok. Fitnah tersebut sedang tersebar dengan meluas di kalangan para penyokong dan ahli parti oleh kelompok yang kecewa calon pilihan mereka tidak dipilih serta kelompok pengkhianat parti yang selama ini ditaja oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Ketika ditemui, sdr Saiful, yang juga merupakan peguam Dato Seri Anwar dengan tegas menafikan fitnah tersebut. Dalam ucapan beliau semasa majlis khenduri doa selamat perasmian Bilik Gerakan Utama AMK Kedah serta meraikan para petugas Pakatan Rakyat semalam, beliau mencabar mereka yang menyebarkan fitnah tersebut untuk berani tampil ke hadapan dan mengemukakan sebarang bukti terhadap tuduhan tersebut. ”Kalau betul anak jantan nak berpencak silat politik, jangan jadi bacul, tampilkan diri dan kemukakan sebarang bukti! Kalau tidak tunggu saman saya di mahkamah”

”Ini bukan kali pertama saya difitnah dan diduga sebegini rupa! Tahun lalu, semasa kertas pencalonan saya ditolak oleh SPR atas alasan kononnya saya gagal mengemukakan penyata perbelanjaan pilihanraya 2004, saya difitnah kononnya telah menerima sogokan sebanyak RM3 juta untuk mensabotaj parti. Alhamdulillah, kebenaran terbukti juga bila kelompok yang memfitnah saya mengisytiharkan diri mereka keluar parti selepas mereka gagal untuk mensabotaj pilihanraya kecil Permatang Pauh yang lalu apabila tembelang mereka kita dedahkan sebelum perbuatan khianat mereka berjaya dilaksanakan! Mereka boleh merancang, dan kita juga boleh merancang, tapi akhirnya perancangan Allah jua yang mengatasi segala-galanya! Saya juga tahu masih ada saki baki kelompok pengkhianat ini dalam parti, dan saya tahu siapa mereka!”

Saiful menjelaskan PKR Kedah sudah menjangkakan episod pengkhianatan parti akan terus berlaku sepanjang tempoh kempen pilihanraya kali ini, dan jentera parti yang ditunjangi oleh AMK negeri sudah jauh lebih bersedia kali ini. Dari penajaan calon bebas Melayu hingga pengisytiharan keluar parti atas alasan tidak bersetuju dengan calon pilihan pimpinan PKR, pelbagai kaedah dan fitnah akan digunapakai bagi menimbulkan keraguan di kalangan petugas parti Pakatan Rakyat kali ini. ”Butiran perbincangan dan perancangan kelompok pengkhianat ini sudah lama sampai ke pengetahuan kita, kerana ada kebocoran maklumat dari kalangan mereka sendiri!”

Bila ditanya tentang soal calon, Saiful mengakui bahawa beliau sendiri kurang mengenali sdr Manikumar sebelum pengumuman calon semalam, dan menjangkakan bahawa calon yang menjadi pilihan adalah hanya di antara Sdr Marsilamani dan sdr Dr Krishnamoorthy, yang juga merupakan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah.

”Sdr Marsilamani adalah rakan aktivis awal yang cukup rapat dengan saya serta bersama-sama menubuhkan parti di Merbok, manakala Dr Krishnamoorthy adalah naib ketua saya sendiri dalam AMK negeri. Kedua-duanya adalah calon anak muda yang paling berpotensi dan punya kredibiliti tersendiri dalam konteks pilihanraya kecil kali ini. Dalam soal pemilihan calon, AMK negeri dalam satu mesyuarat khas 5 minggu lalu sudah lama membuat keputusan untuk mengambil sikap berkecuali dan hanya akan menumpukan pada kerja-kerja persiapan operasi jentera pilihanraya parti. Namun, bila parti sudah membuat keputusan, AMK negeri akan akur dan akan berusaha keras bagi memastikan kemenangan calon parti dan Pakatan Rakyat Kedah”, ujar beliau.

Ketika turut dihubungi oleh n25bukitselambau, YB Dato’ Johari Abdul juga menegaskan penafian yang sama. ”Saya dah lama dalam sepak terajang dan tipu muslihat politik UMNO dan Barisan Nasional. Cerita fitnah sebegini adalah kaedah politik basi yang orang tak pakai dah! Kalau penyebar fitnah tersebut berani, tampilkan diri dan mari kita bersemuka!”

Dalam satu perkembangan yang berkaitan, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat telah mengeluarkan satu pekeliling khas kepada semua petugas-petugas parti yang akan bertugas dalam pilihanraya kecil Bukit Selambau. Pekeliling bertarikh 11 Mac tersebut menyebut antara lainnya ialah 3 individu, iaitu Zamil Ibrahim, Radzi Mohd Lazim serta Jayagopal a/l Adaikkalam tidak dibenarkan bergiat atas nama parti atau diiktiraf sebagai ahli parti sehingga notis selanjutnya. Kami difahamkan ketiga-tiga mereka sama ada telah dipecat atas sebab pengkhianatan terhadap parti (Zamil dan Radzi) atau digantung (Jayagopal) keahlian atas salah laku disiplin yang serius.

Kami juga difahamkan dari sumber dalaman parti bahawa sepanjang tempoh kempen pilihanraya kecil ini, beberapa individu lain dari Kedah akan turut tidak dibenarkan berada di mana-mana bilik gerakan parti kerana disyaki terlibat dalam cubaan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah serta merancang untuk mengkhianati parti dengan bersekongkol dengan UMNO. Kita juga dimaklumkan bahawa pekeliling yang serupa pernah dikeluarkan oleh parti semasa kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh yang lalu. Kami akan mendedahkan nama individu-individu tersebut setelah beroleh pengesahan rasmi dari parti.

Untuk sdr Manikumar dan seluruh jentera AMK Kedah, kami mengucapkan selamat berjuang! Perjuangan kita baru bermula! Reformasi!!

2 comments:

semut said...

Selamat Berjuang Semua AMK KEDAH, saya asal dari Kuala Ketil, dulu belajar di Sultan Badlishah Kulim, 1980-1985/86 dan Arau Perlis, 86-89 mengharapkan rakan rakan semua bersama pakatan rakyat.

dizzy boy said...

S.Manikumar adalah anak saudara kepada V.Arumugam, ADUN PKR yang meletak jawatan. Arumugam sampai sekarang masih berada di dalam tempat persembunyian mungkin India ataua mana-mana kerana takut dibawa ke penghadapan KDYMM Sultan Kedah. Beliau dibiayai sebanyak RM20,000 sebulan supaya jangan keluar sehingga selesai pilihanraya.

Ceritanya bermula apabila isu gundik Arumugam diisytiharkan sebagai isteri rasmi di dalam semua jemputan dan acara istana, sultan telah memanggil MB Kedah untuk penjelasan yang sebenar tentang kedudukan isteri yang sah Arumugam, tetapi MB telah membohongi sultan dengan jawapan tidak mengetahui tentang kedudukan isteri Arumugam demi untuk melindungi Arumugam.

Walaubagaimanapun KDYMM Tuanku masih musykil dan ingin mendapatkan penjelasan yang sebenar dari mulut tuantubuh sendiri maka dengan itu tuanku menitah supaya Arumugam dibawa mengadap baginda. Tuanku murka yang amat sangat kerana tindakan mengisytiharkan gundik sebagai isteri rasmi telah mencemarkan majlis-majlis rasmi di raja Kedah.

Jika pengakuan Arumugam ternyata benar maka ternyatalah MB membohongi sultan maka nescaya kemurkaan tuanku akan menjejaskan kedudukan MB.

Arumugam adalah saksi utama untuk mempertahankan MB Kedah kerana sultan ingin mendapatkan penjelasan yang sebenar samada MB benar atau bohong kepada KDYMM Sultan Kedah.

Akhir kalam untuk menjaga mulut Arumugam supaya tidak menjadi mulut tempayan maka Anwar dan MB terpaksa tunduk kepada permintaan Arumugam untuk meletak anak saudaranya Manikumar sebagai calun proxy Arumugam dalam PRK Bukit Selambau.

Kesimpulannya kalau Manikumar kalah dalam PRK ini ia adalah satu penyelamat besar air muka MB dengan tuanku dan MB akan selamat apabila isu Arumugam terkubur.
Posted by MUMMY ROKIAH @ MUMMY JARUM.

KPD EDITOR BLOG AMK KEDAH,SILA BUAT KENYATAAN INI.ADAKAH BENAR DAKWAAN MUMMY ROKIAH INI.APA TUJUANNYA YG SEBENAR DAN SIAPAKAH MUMMY ROKIAH UNTUK MEMPERSOALKAN ISU N25BKTSELAMBAU INI.SILA BERI PENERANGAN YG SEJELAS-JELASANNYA.JIKA BOLEH SAUDARA SAIFUL,DAKWA MUMMY DI MAHKAMAH.