SEMARAK REFORMASI

PANJI KEADILAN

Saturday, September 19, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


KAMI SELURUH WARGA AMK KEDAH INGIN MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI DAN MAAF ZAHIR BATIN KEPADA SELURUH RAKYAT MALAYSIA,SEMOGA DENGAN KEDATANGAN BULAN SYAWAL YANG MULIA INI AGAR KITA DAPAT MEMPERKUKUHKAN PRINSIP PERJUANGAN UNTUK MENEGAKKAN KEADILAN DI BUMI MALAYSIA INI..

Sunday, September 6, 2009

AMK KEDAH BERBUKA PUASA DI PADANG SERAI

Pada 5 hb SEPTEMBER 09 AMK KEDAH telah mengadakan majlis berbuka puasa di PADANG SERAI.Sebelum majlis berbuka puasa tersebut terlebih dahulu AMK KEDAH bermesyuarat pada jam 3 petang.Pada awalnya tempat mesyuarat di putuskan di pusat khidmat DUN LUNAS,tetapi terdapat masalah yang timbul lantas AMK KEDAH mengubah lokasi mesyuarat di pusat khidmat AHLI PARLIMEN PADANG SERAI.AMK KEDAH merasa terkilan apabila tidak dapat menggunakan pusat khidmat DUN LUNAS untuk bermesyuarat di sebabkan ada pihak yang sakit hati melihat PR masih berdiri teguh di negeri KEDAH.Ribuan terima kasih kepada KETUA-KETUA AMK CABANG yang hadir di dalam mesyuarat tersebut dan tidak di lupakan kepada kawan-kawan antaranya DR HAIRUDIN(AHLI MAJLIS MPKK) yang menguruskan acara berbuka puasa di sebuah restoran terletak di TAMAN SELASIH.



Friday, September 4, 2009

LAGI PRK....DUN BAGAN PINANG


ADUN BN bagi Bagan Pinang, Negri Sembilan, Azman Mohd Noor meninggal dunia di Seremban hari ini.

Beliau meninggal dunia kerana serangan sakit jantung pada jam 2.30 petang tadi di Pusat Pakar Seremban.

Dalam pilihanraya umum lalu, Azman, 55, menang dengan mendapat 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang mendapat undi.

Dalam pilihanraya umum lalu, DUN Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi yang 66 peratus Melayu, Cina (10.5%), India (19.9%) dan lain-lain (3.5%).

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pilihanraya kecil dalam tempoh 60 hari ini.

Ia merupakan pilihanraya kecil kesembilan selepas pilihanraya umum tahun lalu.

Bagan Pinang merupakan kawasan DUN dalam Parlimen Telok Kemang. Empat lagi DUN dalam parlimen tersebut ialah Chuah, Lukut, Linggi dan Port Dickson.

Dalam pilihanraya umum lalu, Parlimen Telok Kemang dimenangi oleh calon PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Manakala DUN Chuah pula dimenangi oleh PKR, Lukut (DAP), Linggi (BN) dan Port Dickson (PKR).

Wednesday, September 2, 2009

KETUA AMK KEDAH DI ASTRO AWANI


DEBAT SUDUT PANDANG DI ASTRO AWANI SALURAN 501,JAM 9.30 MALAM INI,DEBAT BERTAJUK'BAIKI JAMBATAN PERPADUAN & ROBOHKAN DINDING PEMISAH UNTUK HIDUP HARMONI'WAKIL PKR SAIFUL IZHAM RAMLI(KETUA AMK KEDAH).

Tuesday, September 1, 2009

PERUTUSAN HARI MERDEKA

Apabila mendekati tarikh 31hb Ogos, ingatan kita akan mengimbas kembali rentetan peristiwa dan perjuangan rakyat yang berkemuncak dengan Kemerdekaan. Tarikh tersebut terungkap sebagai tarikh keramat ,menjanjikan kebebasan daripada cengkaman penjajah dan menyelamatkan martabat hidup rakyat.

Persoalan yang menerjah kita semua ialah; bagaimana kita menghayati makna tarikh tersebut hari ini. Pergulatan ini menjadi penentu kepada persoalan makna diri kita sebagai rakyat Malaysia.Tekad baru untuk memahami makna diri Malaysia sebagai bangsa merdeka juga menuntut kita untuk memahami bagaimana kita menjadi tidak merdeka; bagaimana kita hilang kemerdekaan sebelum kita memperolehinya kembali.

Lebih dua ribu tahun yang lalu, Brutus bertanya warga Kota Rom “siapakah yang begitu hina sehingga mahu hidup sebagai hamba ?” Ceasar mahu memiliki kuasa yang tidak terbatas. Nafsunya sebegitu besar dan mahu memastikan Rom dalam genggamannya.

Pertentangan antara Brutus dengan Ceaser adalah pertentangan antara kebebasan menentang nafsu kekuasan tidak terbatas. Sejak negara kita merdeka kita masih bergelut dengan pertentangan ini. Kebebasan – kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan institusi kehakiman sentiasa mahu disekat oleh penguasa. Oleh itu kita menginsafi hanya bangsa yang pernah melalui gelita penjajahan akan mengerti makna cahaya kemerdekaan. Bagitu juga, hanya diri yang pernah kebebasannya diragut akan menghargai nilai kebebasan.

Syarahan Perdana Professor Dr. Syed Muhammad Naguib al-Attas yang berjudul Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu juga menghuraikan dengan panjang lebar peranan paksi tauhid sebagai aqidah menambat keyakinan baru yang menolak faham tahyul dan perhambaan, seterusnya menjadi pelantar kepada pemikiran yang berakar dengan tradisi aqliyah dan mencernakan budaya segar dengan bahasa Melayu sebagai pertuturan kepustakaan(lingua franca) rantau ini. Ratusan tahun berlalu yang sewajarnya tambah memperkukuh dan memantapkan semangat dan keyakinan baru tersebut.

Cantik sungguh puteri Palembang,
Sayang bersunting bunga pudak;
Betapa keras dilambung gelombang,
Kucacak tiang, kulayar jua.

Manakala melangkaui separuh abad kemerdekaan, kita rakyat Malaysia sewajarnya mempunyai kesedaran betapa Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa pasar, bahasa komunikasi basahan untuk berjual beli. Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu, bahasa tamadun dan bahasa untuk mengungkapkan pengalaman kemanusian yang paling mendalam dan luhur. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa intelektual dan kerohanian untuk umat Islam, makanya Bahasa Melayu juga seharusnya menjadi bahasa intelektual dan kerohanian umat Budha, Hindu, Kristian dan lain-lain keyakinan.

Bahasa Melayu yang saya sebutkan di sini bukanlah bahasa milik orang Melayu semata-mata. Bahasa Melayu adalah milik rakyat dan bangsa Malaysia yang berketurunan Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak dan lain-lain. Bahasa Melayu adalah milik semua rakyat Malaysia.

Kemerdekaan mestilah tidak terperangkap dengan bahana dari politik sempit dan kelam sesebuah parti politik tertentu. Kemerdekaan perlu di lihat dari perspektif rakyat keseluruhannya; perjuangan pelbagai kaum, menggunakan pelbagai wadah, dan melibatkan pelbagai aliran pemikiran. Sejarah ternyata mengajar kita bahawa Perjuangan Menuntut Kemerdekaan menerbitkan kesatuan semangat untuk menentang penjajah dan imperialisme Barat ketika itu.

Generasi terdahulu yang sama-sama berjuang untuk kemerdekaan, dan mereka yang menempuh zaman mudanya di masa awal kemerdekaan menjadi saksi kepada kepelbagaian aliran dan wadah perjuangan rakyat. Tetapi penulisan sejarah kemerdekaan yang disampaikan kepada generasi hari ini masih belum berlaku adil kerana fakta yang bercampur propaganda. Ini merupakan beban dan tanggungjawab kepada ahli-ahli sejarah kerana tanpa pensejarahan yang adil, kita tidak akan dapat melihat dan menemui makna dan rupa diri bangsa kita yang sebenarnya. Nama pejuang kemerdekaan seperti Dato’ Onn Jaafar, Ustaz Abu Bakar Baqir, Dr Burhanuddin al Helmy, Ahmad Boestamam, Mat Salleh, Panglima Rentap dan Rosli Dhobi tidak sewajarnya digelapkan dari sejarah menuntut kemerdekaan.

Kemerdekaan adalah untuk kebebasan dan keadilan. Inilah yang dijanjikan kepada kita pada 31 Ogos 1957. Sekiranya kita mahu berdegil untuk meneruskan saki baki peninggalan feudal, atau mahu memperkokohkan lembaga-lembaga sistem otoritarianisme, sudah pasti kita menjadi bangsa yang terpinggir. Bangsa Malaysia tidak miskin dengan sumber daya manusianya. Dengan paras pembangunan yang telah dicapai dan kekayaan yang kita miliki Malaysia boleh menjadi negara yang besar. Dan kita perlu yakin bahawa Malaysia boleh menjadi bangsa yang besar. Tetapi kita tidak boleh menjadi bangsa yang besar sekiranya rakyatnya tidak bebas dan merdeka.

ANWAR IBRAHIM

Friday, August 28, 2009

PKR KUTUK TINDAKKAN KUMPULAN MENGHINA AGAMA HINDU

Parti Keadilan Rakyat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan 50 orang yang kononnya mewakili penduduk Seksyen 23 di Shah Alam yang telah mengarak dan bertindak menghina kepala seekor lembu dalam memprotes isu penempatan semula sebuah kuil Hindu.

Tindakan mereka ini dengan jelas bertujuan untuk mengaibkan dan menimbulkan kemarahan penganut Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang yang suci.

Keadilan menegaskan bahawa tiada anggota dari Parti Keadilan Rakyat yang terlibat mahupun dibenarkan untuk menyertai protes seperti ini.
Agama Islam tidak pernah mengajar penganut Islam untuk mencemuh mahupun menghina agama atau kepercayaan orang lain malah telah melarang sekali orang-orang Islam berbuat sedemikian.

Keadilan juga percaya bahawa tindakan ini berupa satu cubaan untuk mewujudkan kemarahan dan kebencian di antara orang-orang Islam dan Hindu sekaligus mencetuskan perbalahan kaum dan agama dan suasana yang tegang di Selangor lantas memberi peluang untuk UMNO untuk merampas balik Selangor sebagaimana yang dilaung-laungkan kononnya atas nama bangsa dan agama.

Keadilan menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas untuk menjaga keamanan dan keharmonian dan tidak memandang remeh terhadap perbuatan yang jelasnya salah disisi undnag-undang dan berbentuk provokasi dan menggugat ketenteraman awam dan hubungan antara kaum/agama.

Keadilan juga kesal kerana pihak polis Selangor gagal menghalang kejadian ini dari berlaku dan sebaliknya Ketua Polis Selangor menyatakan bahawa tindakan boleh diambil hanya sekiranya terdapat laporan polis. Ini jelas menunjukkan sikap sambil lewa pihak polis seolah-olah membenarkan atau mengalakkan perkara sebegini.

Keadilan meminta semua pihak yang berkenaan untuk bertenang dan berwaspada supaya tidak terperangkap dengan reaksi yang boleh diambil kesempatan oleh pihak UMNO yang berusaha untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Selangor dengan mencetuskan insiden-insiden berunsur perkauman dan agama.

Latheefa Koya
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat

Tuesday, August 25, 2009

UCAPAN TAHNIAH DSAI


Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran atas kemenangan calon Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir hari ini.

Meskipun berbulan-bulan diasak fitnah sebagai pengkhianat bangsa dan berhadapan pembelotan, jelas kemenangan hari ini membuktikan rakyat menolak politik acuan pimpinan UMNO-BN yang memecahbelahkan.

Penghargaan yang tidak terhingga saya ucapkan kepada seluruh jentera pilihanraya kecil yang tetap bersabar mengharungi kepayahan dalam bulan Ramadhan ini. Kepada YB Tuan Haji Salleh Bin Man, tahniah diucapkan atas kejayaan ini. Maka bermulalah tugas untuk menunaikan amanah dan mandat yang diberikan oleh rakyat.

Kemenangan dengan majoriti meyakinkan ini ternyata menzahirkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap Pakatan Rakyat, juga hasrat mereka yang sentiasa bergelora mahukan Perubahan dan melihat masa depan Pakatan Rakyat yang lebih gemilang.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Dewan Rakyat Malaysia