SEMARAK REFORMASI

PANJI KEADILAN

Friday, August 28, 2009

PKR KUTUK TINDAKKAN KUMPULAN MENGHINA AGAMA HINDU

Parti Keadilan Rakyat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan 50 orang yang kononnya mewakili penduduk Seksyen 23 di Shah Alam yang telah mengarak dan bertindak menghina kepala seekor lembu dalam memprotes isu penempatan semula sebuah kuil Hindu.

Tindakan mereka ini dengan jelas bertujuan untuk mengaibkan dan menimbulkan kemarahan penganut Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang yang suci.

Keadilan menegaskan bahawa tiada anggota dari Parti Keadilan Rakyat yang terlibat mahupun dibenarkan untuk menyertai protes seperti ini.
Agama Islam tidak pernah mengajar penganut Islam untuk mencemuh mahupun menghina agama atau kepercayaan orang lain malah telah melarang sekali orang-orang Islam berbuat sedemikian.

Keadilan juga percaya bahawa tindakan ini berupa satu cubaan untuk mewujudkan kemarahan dan kebencian di antara orang-orang Islam dan Hindu sekaligus mencetuskan perbalahan kaum dan agama dan suasana yang tegang di Selangor lantas memberi peluang untuk UMNO untuk merampas balik Selangor sebagaimana yang dilaung-laungkan kononnya atas nama bangsa dan agama.

Keadilan menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas untuk menjaga keamanan dan keharmonian dan tidak memandang remeh terhadap perbuatan yang jelasnya salah disisi undnag-undang dan berbentuk provokasi dan menggugat ketenteraman awam dan hubungan antara kaum/agama.

Keadilan juga kesal kerana pihak polis Selangor gagal menghalang kejadian ini dari berlaku dan sebaliknya Ketua Polis Selangor menyatakan bahawa tindakan boleh diambil hanya sekiranya terdapat laporan polis. Ini jelas menunjukkan sikap sambil lewa pihak polis seolah-olah membenarkan atau mengalakkan perkara sebegini.

Keadilan meminta semua pihak yang berkenaan untuk bertenang dan berwaspada supaya tidak terperangkap dengan reaksi yang boleh diambil kesempatan oleh pihak UMNO yang berusaha untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Selangor dengan mencetuskan insiden-insiden berunsur perkauman dan agama.

Latheefa Koya
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat

No comments: