Hari ini, sepagian saya dan beberapa teman sukarelawan Yayasan Aman telah pergi ke empat buah rumah penduduk di sekitar Bukit Selambau untuk menyampaikan amanah sumbangan kerusi roda kepada 4 penerima sumbangan yang memerlukan bantuan.
Mereka adalah antara puluhan pemohon dan penduduk yang kurang berkeupayaan, yang telah memohon melalui Yayasan Aman untuk mendapatkan bantuan kerusi roda selama ini. Sebelum ini, mereka telah memohon untuk bantuan kerusi roda melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi mungkin kerana karenah birokrasi yang keterlaluan, permohonan mereka tidak diketahui statusnya. Ada yang memohon sejak tahun 2005, tetapi fail permohonan mereka hilang entah ke mana.
Atas inisiatif saya dan beberapa teman, kami berjaya mengumpulkan sumbangan bagi membeli beberapa kerusi roda utk kegunaan mereka. Saya memperkenalkan konsep "pinjam dan pulang", iaitu, Yayasan Aman sebagai sebagai pertubuhan kebajikan bukan kerajaan meminjamkan kerusi roda itu untuk kegunaan pemohon sehingga mereka tidak memerlukannya lagi atau sehingga mereka meninggal dunia. Kerusi itu kemudiannya akan dikembalikan kepada Yayasan oleh waris mereka untuk dipinjamkan pula kepada pemohon yang lain.
Saya sedang cuba mengumpulkan dana untuk membeli kira-kira 50 lagi kerusi roda untuk tujuan seperti di atas. sehingga hari ini, Yayasan sudah meminjamkan kira-kira 11 kerusi roda dan 3 daripadanya sudah dipulangkan kepada Yayasan selepas pemohonnya meninggal dunia. Saya sedaya upaya mengurangkan karenah birokrasi bagi memastikan pemohon tidak menunggu terlalu lama bagi mendapatkan kerusi roda untuk kegunaan harian mereka. InsyaAllah, saya yakin dengan bantuan dan sumbangan serta komitmen semua, projek bantuan kerusi roda ini akan berjaya dan dapat membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.
Kemudiannya, bersama sdr Asri, penyelaras Yayasan Aman Kedah, saya turun menyampaikan sumbangan bantuan awal membina semula kediaman sepasang suami isteri warga emas yang sudah uzur. Kediaman sedia ada sudah terlalu uzur dan lantai-lantainya sudah terlalu reput sehinggakan saya tak berani nak menaiki rumah tersebut. Malahan alang lantai rumah tersebut yang juga sudah reput hanya disokong oleh beberapa batang kayu penyangga dari pokok getah. Yayasan Aman bercadang merobohkan rumah tersebut dan membantu mendirikan semula rumah yang lebih kukuh dan selamat untuk pasangan warga emas tersebut. InsyaAllah, saya berjaya mendapatkan komitmen YB Dr Hamdan, ADUN Tanjung Dawai untuk turut membantu, serta beberapa teman ahli perniagaan tempatan untuk menyumbang bata, kayu dan simen bagi membina semula rumah untuk pasangan tersebut.
www.saifulmerbok.blogspot.com
No comments:
Post a Comment