SEMARAK REFORMASI

PANJI KEADILAN

Saturday, April 30, 2011

AMK selar Jawi subahat dalam sumpah laknat


KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan menyelar tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang turut bersekongkol apabila membenarkan tindakan sumpah laknat yang ingin dilakukan salah seorang Trio Datuk T, Datuk Shazryl Eskay Abdullah di sebuah masjid di Sentul hari ini.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau turut merasa terkejut apabila Pengarah Jawi, Che Mat Che Ali turut hadir bagi menjadi saksi acara angkat sumpah itu- yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

“Saya hairan kenapa ada wakil dari jabatan agama islam untuk menyaksikan sumpah laknat ini. Sedangkan kita telah buat laporan qazaf dan kita telah memberikan keterangan.

“Bagaimana Jawi bersedia untuk menjadi alat kepada pemerintah untuk bersekongkol dengan perkara-perkara taghut,” ujar Shamsul ketika mengadakan sidang media di masjid tersebut.

Hari ini, JAWI dalam kenyatannya membenarkan Eskay, untuk melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru Al As, di sini selepas solat jumaat, sebelum acara itu dibatalkan di saat akhir.


Che Mat Che Ali, turut hadir di masjid berkenaan, dikatakan untuk menjadi saksi sumpah laknat
Che Mat Che Ali dilapor berkata, tiada sebarang halangan untuk ahli perniagaan itu untuk berbuat demikian meskipun masjid berkenaan adalah di bawah pentadbiran agensi agama itu.

“Kita ingin memberitahu bahawa, tindakan ini tidak dibenarkan dalam agama Islam. Merujuk kepada ulama-ulama dan kitab-kitab syariah, menyatakan dengan jelas berkenaan dalam hal-hal yang berkaitan dengan tuduhan-tuduhan, jawapannya adalah qazaf,” kata shamsul.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang juga guru agama di bahagian kor agama angkatan tentera, (kagat) ustaz Hasbulllah Ismail berkata tindakan itu mencemar kesucian dan institusi perundangan agama Islam itu sendiri.

“Sumpah laknat ini adalah perkara terakhir yang dilakukan selepas melalui proses qazaf dan dakwaan di mahkamah.

“Manakala masjid bukanlah tempat untuk dilakukan perkara tersebut kerana mencemar kesucian rumah ibadat.

Beliau yang ditemui keadilandaily kesal dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang memanipulasikan rumah ibadat atas kepentingan politik.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=12500

Friday, April 29, 2011

Sumpah Eskay: Itu kerja orang jahil, kata bekas Mufti Wilayah


KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Md Hashim Yahya berkata sumpah yang tidak dilakukan menurut hukum syarak, diumpamakan sebagai kerja-kerja orang jahil.

Beliau diminta mengulas tindakan salah seorang trio datuk T, Shazryl Eskay Abdullah yang melakukan sumpah laknat di sebuah masjid di Sentul kira-kira pukul 4.15 petang tadi,

Ulama terkenal itu berkata, tidak ada peruntukan dalam undang-undang Islam yang membenarkan sumpah seperti yang dilakukan Eskay, berhubung tuduhan seks terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam hukum qazaf, iaitu peruntukan untuk sabitan kes zina dan liwat, pihak yang menuduh perlu membawa empat orang saksi terlebih dahulu.

“Sekiranya gagal membawa empat saksi, yang menuduh itu akan dikenakan hukuman qazaf sebanyak 80 rotan,” ujarnya ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Bagaimanapun, sumpah li’an iaitu sumpah laknat itu pula katanya, hanya tertakluk antara suami dan isteri sahaja dan tidak ada peruntukan selain itu dalam hukum Islam.

Tambah beliau, seseorang suami yang menuduh isterinya berzina perlu melalui prosedur perbicaraan di mahkamah terlebih dahulu di mana dia perlu mengemukakan empat saksi seperti yang digariskan Islam seperti tidak fasik dan membuat dosa-dosa besar.

Sekiranya tuduhan itu tidak dapat dibuktikan, katanya, mahkamah kemudian akan memerintahkan supaya kedua-duanya melakukan sumpah li’an.

“Mereka yang menuduh isterinya berzina tapi tak dapat bawa empat saksi, maka dibolehkan kedua-duanya bersumpah.

“Kalau tak dapat bawa empat saksi suami dan isteri melakukan zina, dengan perintah mahkamah boleh dilakukan sumpah li’an. Kalau mahkamah panggil untuk kedua-duanya bersumpah, mahkamah akan perintah untuk buang kes itu. Siapa yang bersalah, itu diserahkan kepada Allah untuk menentukan.

“Tetapi ia dengan perintah mahkamah, tak boleh sendiri-sendiri bersumpah. Kalau kedua-duanya bersumpah, yang menuduh tidak kena 80 rotan dan yang dituduh pula tidak kena had zina. Qadi pula akan menjatuhkan fasakh iaitu tidak boleh rujuk sampai bila-bila.

“Kalau bukan arahan mahkamah, apa faedahnya bersumpah. Ia tidak kena dengan hukum syarak,” ujar beliau.

Tambah beliau, dalam kes bersumpah yang cuba dilakukan Eskay, ia tidak memberi sebarang kesan atas pendakwaan dari sudut sistem perundangan Islam, malah semakin mengelirukan umat Islam.

“Ia tidak memberi kesan apa-apa, tambah mengelirukan umat Islam dan menyebabkan fitnah itu berterusan. Ini menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

“Ini kerja orang jahil dan tidak ada faedah.

“Kalau sumpah, orang hisap dadah, mencuri dan merompak pun boleh bersumpah dengan begitu mudah dan terlepas dari hukuman,” ujarnya.

Beliau mengulangi kisah yang terjadi kepada Hilal Bin Umaiya yang menuduh isterinya berzina dengan Sharik Bin Sahma seperti yang diceritakan dalam surah An Nur, ayat 6.

“Rasulullah kemudian berkata kepada Hilal, sekiranya dia tidak dapat membawa empat saksi, Hilal akan dihukum dengan 80 sebatan, walaupun Hilal mendakwa melihat dengan mata sendiri isterinya melakukan zina,” ujarnya

Thursday, April 28, 2011

PENJELASAN DARIPADA 'SADA'


Mengenai air kita tidak boleh buat kenyataan berlandas kepada persepsi tanpa membuat perkiraan yang betul. Saya ingin maklumkan bahawa semasa isu air di Universiti Utara Malaysia (UUM)

disensasikan pihak media, Syarikat Air Darul Aman (SADA) bukanlah duduk pada tahap tidak membuat apa-apa.”

Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif SADA Dato’ Azdmi Din pada sidang media di pejabatnya.

Terangnya, untuk menampung air kepada 33,037 jiwa warga universiti berkenaan Kerajaan Negeri telahpun membina loji yang berkapisti 50 juta meter padu sehari. Semua saluran paip yang melibatkan bekalan ke institusi itu sepanjang 35 kilometer telahpun siap 100 peratus bersama tiga kolam takungan yang hanya menunggu bekalan elektrik dari Tenaga Nasional tiga minggu lagi iaitu pada 15 Mei ini.

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak TNB yang bekalan elektrik akan siap 15 haribulan depan. Kerja-kerja kabel berkaitan sedang giat dijalankan di rumah pam Sebatin. Sekarang bekalan elektrik ini belum siap kerja-kerja pemasangan kabel sedang giat dijalankan. Begitu juga dengan rumah pam di Bukit Kayu Hitam akan siap serentak pada tarikh yang sama,” katanya.

Menurut beliau, sekarang SADA membekalkan 10 juta liter air sehari ke UUM dan jumlah ini adalah mencukupi bagi kegunaan 33,037 warga UUM.

“Pegguna yang seramai itu sepatutnya kita hanya bekal 8 juta liter sehari, namun disebabkan berlaku pembaziran air yang banyak iaitu 462,00 gelen air sehari di UUM menyebabkan bekalan air tidak cukup,” katanya.

Menurutnya lagi, kini fokus diberikan kepada loji di Padang Sanai yang berkapasiti 50 juta liter padu sehari sudah berjalan membekalkan air sekitar Padang Terap dan Padang Sanai dengan kapasiti sebanyak 5 juta padu sehari dan 10 juta liter padu ke Durian Burung.

Katanya, untuk percubaan sistem agihan ke UUM hanya mempunyai masa tiga minggu sahaja lagi dan selepas ini Kerajaan Negeri berharap isu ini boleh ditutup.

“(Itu hanya) selesai di pihak Kerajaan Negeri dan SADA. Tapi saya tak tahu pihak UUM. Dalam loji kapsiti 50 juta padu sehari ini sebahagian besar akan salurkan ke UUM sebanyak 30 juta liter padu sehari dan 5 juta liter padu akan salurkan ke Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Katanya, sebagai sahabat kepada Naib Canselor UUM Prof Dato’ Dr Mohamed Mustafa Ishak, beliau bersyukur sekiranya infrastruktur dalaman mengenai bekalan adalah sempurna seperti yang didakwa.

“Tapi sekiranya terdapat keadaan paip dan tangki tidak berada dalam tahap sepatutnya untuk membekal air kepada warganya, apabila bekalan air berkapasiti 30 juta liter padu disalurkan akan menyebabkan saluran paip meletup-letup,” katanya dengan ketawa.

Sambungnya lagi, selepas loji Padang Sanai beroperasi nanti SADA mampu membekal sehingga 20 hingga 30 juta liter padu air.

“Saya jawab cara professional bukan persepsi. Tahun lepas kita dah masuk masa pentadbiran lama dulu Dr Nordin Kardi sebagai NCnya. Bersama SPAN, kita tengok banyak benda perlu dibuat kajian di UUM. Nanti dia marah saya pula. Termasuk untuk menambah kapasiti loji takungan,” ujarnya.

Dato’ Azdmi bimbang, apabila bekalan air ditingkatkan nanti, termasuk bagi memenuhi kehendak NRW (air yang hilang akibat kebocoran) akan mengakibatkan sistem paip dalaman akan pecah akibat tidak dapat menampung tekanan.

Beliau berkata demikian berdasarkan pengalaman loji air di Lubuk Buntar yang membekalkan air di Bandar Baharu.

“Sepatutnya loji lama (Lubuk Buntar) dinaiktaraf bukan membina loji yang baru. Kapasiti loji baru terlalu tinggi tidak seimbang dengan jumlah pengguna dan akibatnya tiap bulan SADA terpaksa perbaiki paip yang pecah dan meletup akibat tekanan tinggi,” katanya.


Oleh itu, katanya, demi kebaikan semua pihak beliau memohon kebenaran dari pihak UUM untuk benarkan Pasukan Teknikal Sada masuk ke UUM tapi sekiranya UUM mahu lantik konsultan sendiri terserahlah.

Katanya, perkhidmatan yang SADA tawarkan adalah percuma tapi kalau lantik konsultan lain perlu perlukan kos. “Sekiranya UUM mahu berjimat kos itu boleh beli bantal cantik untuk tidur dengan selesa,” ujarnya.

Sunday, April 24, 2011

NAIB CANSELOR UUM HINA MB KEDAH


Alor Setar - Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak (gambar) digesa memohon maaf terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berikutan kenyataannya kelmarin, yang dianggap tidak menghormati pemimpin tertinggi negeri.

Desakan itu dibuat oleh Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) berikutan kenyataan lantang Dr Mohamed Mustafa yang menyifatkan Azizan hanya layak mengurus sekolah pondok, setelah Azizan mencabar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyerahkan UUM untuk diambil alih Kerajaan Negeri apabila universiti itu mempertikai pembayaran cukai tanah bernilai RM1.7 juta setahun.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, DPPNK memandang pandang serius perkara ini kerana selaku pegawai kerajaan, beliau tidak sepatutnya bertindak seperti itu,” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri berhak terima atau tolak permohonan rebat cukai tanah.

“Ia tidak terkecuali pada mana-mana tuan tanah, sama ada golongan berada atau petani sekalipun. Tiada yang merungut pun kecuali UUM, mungkin kerana mereka faham tanggung jawab sebagai pemilik tanah,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Dr Mohamed Mustafa yang mempertikai kemampuan Kerajaan Negeri untuk mengurus UUM kerana memerlukan bajet yang tinggi, mencecah RM300 juta setahun untuk mengurus 15,000 pelajarnya, Muhammad Sanusi berkata, Kerajaan Negeri mampu mengurus 2 juta penduduk hanya dengan pendapatan RM500 juta.

“Cukai tanah yang perlu dibayar UUM cuma 0.6 peratus daripada bajet berkenaan,” katanya.

Muhammad Sanusi turut mempertikai tujuan isu cukai tanah dan bekalan air di UUM dibangkitkan oleh Dr Mohamed Mustafa, memandangkan KPT sebelum ini tidak pernah mempersoal pembayaran cukai tanah terbabit.

Menurutnya, kewibawaan Azizan untuk mentadbir sebuah pusat pengajian tidak harus dipertikaikan, berikutan beliau berpengalaman selama 21 tahun dalam bidang IPT.

“Azizan pernah menjadi Ketua Jabatan di UKM, selain antara pengasas UIA dan menubuhkan fakulti syariah dan undang-undang di Universiti Mindanao, Filipina. Beliau juga yang memperluas program Kolej Universiti Insaniah daripada tujuh program kepada 42, malah membina kampus induk di Kuala Ketil dengan sumber terhad tanpa bantuan kewangan Pusat,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, UUM tidak perlu memandang rendah terhadap pengurusan sekolah pondok, kerana pentadbiran pondok sekarang lebih baik. -SH

Thursday, April 21, 2011

KEADILAN selar Berita Harian bawa agenda jahat Umno

KUALA LUMPUR: KEADILAN mengutuk tindakan akhbar arus perdana, Berita Harian yang tidak mencerminkan etika kewartawanan kerana melaporkan secara semberono kononnya individu dalam video seks fitnah sepadan dengan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden, N Surendran berkata, selepas meneliti laporan berita tersebut beliau mengesyaki pihak polis turut bersekongkol membocorkan maklumat yang seharusnya sulit kerana masih dalam tempoh siasatan.

“Ini merupakan modus operandi biasa dengan niat jahat yang dilakukan untuk mencalar imej seseorang dengan membuat tajuk berita utama secara sensasi untuk mengelirukan orang ramai.

“Tidak mustahil pihak polis turut bersekongkol dan mereka turut mempunyai agenda politik,” kata Surendran.

Pada tajuk utamanya hari ini, akhbar itu memetik sumber tanpa nama, kononnya sebuah agensi penyiaran terkemuka di Korea Selatan yang menganalisis rakaman video seks mendapati pelaku dalam rakaman itu sepadan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut akhbar itu lagi, polis juga telah mengenalpasti lokasi video tersebut dirakamkan, iaitu di sebuah kondominium di pinggir Kuala Lumpur dan wanita terbabit dipercayai seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara.

“Akhbar tersebut tidak menamakan siapa, dimana dan apa kelayakan makmal atau pun penganalisis yang menjalankan kajian di Korea Selatan itu. Ia dilaporkan secara tergantung dan dibuat secara sensasi.

“Agenda Berita Harian ini adalah agenda Umno dan Barisan Nasional,” Ujar Surendran.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat individu atau pihak yang kononnya dilihat bebas dan berkecuali ‘dipasang’ (planted) oleh mereka yang mempunyai motif jahat untuk mencalar kredibiliti Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

“Ada kemungkinan pihak polis sendiri yang melantik mereka (penganalisis) ini,” katanya

Sementara itu, Surendran menambah, isteri Ketua Umum, Datuk Seri Dr Wan Azizah sendiri telah memastikan bahawa individu dalam video tersebut bukan suaminya.

“Siapa lagi yang boleh mengesahkan tubuh seseorang, kalau bukan isterinya sendiri. Ini merupakan percubaan akhir pihak-pihak yang takut kepada kemaraan Pakatan Rakyat,” jelasnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=11938

Wednesday, April 20, 2011

SERAH SAJA UUM KEPADA KEDAH


“Serahkan Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada kerajaan negeri kalau dah tak mampu nak tadbir kewangannya,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai respons kepada isu yang ditimbulkan timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin juga dilaporkan mengecam kerajaan negeri Kedah yang kononnya menaikkan cukai tanah UUM sehingga 10 kali ganda sejak mengambil alih pemerintahan negeri sehingga pihak universiti terpaksa membayar RM1.8 juta setahun berbanding RM150,000 sebelum ini.

Azizan bagaimanapun menafikan dakwaan kenaikan cukai tanah tersebut, sebaliknya menjelaskan bahawa apa yang berlaku adalah tempoh pemberian rebat kerajaan negeri kepada universiti itu yang telah berakhir.

“Mengikut perjanjian asal, jumlah perlu dibayar oleh universiti adalah sebanyak RM1.2 juta tetapi pihak universiti hanya perlu bayar RM100 ribu setahun bagi tempoh 2006 hingga 2008 setelah permohonan mereka mendapatkan rebat diluluskan oleh kerajaan.

“Saya harap penjelasan ini membuktikan kerajaan negeri bukan naikkan cukai tanah, cukai asal lebih RM1 juta dan setelah diberi rebat UUM cuma bayar RM100,000 sahaja dan kini perjanjian telah berakhir, UUM kenalah bayar penuh.

“Sepatutnya mereka kena bayar RM1.2 juta tapi kalau UUM menghadapi masalah kewangan, mereka boleh memohon untuk mendapatkan rebat semula,” jelasnya kepada media selepas berucap di himpunan bulanan kakitangan kerajaan di Wisma Darul Aman.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri tidak pernah bercadang hendak menaikkan cukai tanah yang diturunkan selepas mengambil alih pemerintahan negeri pada Mac 2008 yang lalu.

Mengenai masalah bekalan air yang sekian lama dihadapi warga universiti itu, Azizan berkata, isu ini perlu diselesaikan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi.

“Saya pernah bangkitkan isu ini supaya pengurusan UUM kemukakan cadangan kepada kementerian untuk naik taraf infrastruktur bekalan air, tetapi saya tak nampak pun hasilnya,” katanya.

Sunday, April 17, 2011

TAHNIAH AMK PENDANG






Pada 17 APRIL 2011 (AHAD) AMK PENDANG mengorak langkah ke hadapan iaitu berjaya menganjurkan ceramah buat julung kalinya di pendang.Bertempat di KG KUBANG PISANG AMK PENDANG berjaya mengurus dan menyediakan tempat yang baik untuk program cermah tersebut.

Para penceramah jemputan terdiri daripada KETUA AMK KEDAH AZMAN NASRUDIN,BADRUL HISYAM SHAHRIN aka CG BARD dan KETUA DEWAN PEMUDA PAS KEDAH UST AHMAD YAHYA,tidak ketinggalan menyerikan program ceramah tersebut PEMANGKU YDP PAS PENDANG YB DATO' TAULAN RASUL merangkap ADUN TOKAI dan EXCO KERAJAAN NEGERI KEDAH turut hadir.Program ceramah bermula sekitar jam 9 malam dan berakhir 12.30 malam.

AMK PENDANG yang di pimpin oleh SAUDARA ZAKI dan teman-teman yang lain telah membuktikan bahawa PKR khususnya AMK PENDANG telah mula bertapak dan berusaha memastikan PARTI KEADILAN RAKYAT di terima oleh semua lapisan masyarakat.

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada seluruh jentera AMK PENDANG yang berjaya merealisasikan dan memastikan progrm cermah tersebut berjalan dengan lancar dan berjaya.

Friday, April 15, 2011

PAKATAN MAMPU SEKAT MAJORITI 2/3 BN DI SARAWAK


Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat akan berjaya menyekat peluang BN daripada memperolehi majoriti dua pertiga di DUN Sarawak.

Pakatan yakin akan memenangi lebih daripada 24 kerusi yang diperlukan untuk meraih kemenangan moral ke atas BN, katanya dalam sidang media di hari terakhir kempen pilihan raya negeri Sarawak hari ini.

Katanya lagi, Pakatan optimis dalam peluangnya memecahkan monopoli kuasa BN di negeri berkenaan.

Namun, Anwar dilihat berwaspada dan mengakui bahawa ianya satu usaha sukar apabila ditanya sekiranya Pakatan mampu mengambil alih kerajaan negeri.

Katanya, masalah tidak akan timbul sekiranya pilihan raya itu dijalankan secara bebas dan adil.

Apa yang membimbangkan adalah perkembangan yang akan berlaku dalam tempoh terakhir kempen ini, katanya lagi,

Kempen selama 10 hari akan berakhir pada tengah malam ini dan pemilih akan mula membuang undi sebaik pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi esok.

Sunday, April 10, 2011

JENTERA KERAJAAN MULA DI GUNAKAN??

KUCHING: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tiba-tiba berkampung di Sarawak bertujuan memudahkan jentera kerajaan Persekutuan dikerah membantu kempen Barisan Nasional di negeri itu.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kehadiran Najib menunjukkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud tidak berkeupayaan untuk meraih sokongan rakyat untuk mengundi Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, ia juga menggambarkan ketakutan BN hingga terpaksa membawa masuk keseluruhan jentera kerajaan Persekutuan bersama Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini adalah satu kesalahan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Najib akan tiba di Kuching bagi kali kedua sejak kempen bermula pada 6 April dan hanya akan pulang Jumaat depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berada di Sarawak untuk kempen sejak beberapa hari lalu.

Pada sidang media itu, Anwar berkata, kehadiran Najib, Muhyiddin dan Menteri Kabinet jelas menunjukkan manifesto politik pembangunan BN gagal mengumpan sentimen rakyat.

“Janji pembangunan hanya ulang tayang yang tidak ditunaikan. Mereka gagal untuk sampaikan kepada rakyat. Untuk saya, mereka telah lama terpinggir. Tiada jaminan bahawa rompakan tanah dan balak ini dihentikan.

Selain itu, beliau juga diberitahu seorang calon KEADILAN yang memaklumkan keseluruhan jentera kementerian yang diketuai Datuk Sharizat Jalil turun di Belaga.

Beliau dimaklumkan yang Sharizat membuat tohmahan kepada penduduk setempat kononnya keadaan di Pulau Pinang dan Selangor jauh lebih teruk daripada Sarawak sejauhkan situasi sebenar, terbalik.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=11094

Thursday, April 7, 2011

Kekayaan dibolot Taib: Saifuddin buat analogi MU, Chelsea


MIRI: Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution menarik perhatian pengundi di Miri apabila membuat analogi pasukan Manchester United dan Chelsea pada perlawanan akhir UEFA, bagi mengaitkan kekayaan yang dibolot Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Berucap di hadapan kira-kira 2,000 yang membanjiri Miri Waterfront malam tadi, Saifuddin berkata, selepas 30 tahun Taib mentadbir Sarawak , kekayaan negeri itu masih dikongsi sesama adik beradik dan kroninya- sama keadaannya seperti perlawanan bola sepak.

“Kalau ‘pasukan’ Sarawak, ‘bola’ itu hanya berlegar kepada Taib Mahmud. Kemudian kepada (anaknya) Raziah Mahmud. Raziah Mahmud kepada Onn Mahmud. Onn Mahmud kepada George Chan, George Chan kepada Alfred Jabu dan kembali semula kepada Taib Mahmud,” kata Saifuddin, mengajuk percakapan seorang pengulas perlawanan bola sepak.

“Kenapa tidak sampai kepada rakyat di bawah? Ini tidak betul. Kekayaan negeri ini hanya berlegar di kalangan keluarga dan kroni mereka,” kata beliau ketika bercakap kepada kira-kira 2,000 hadirin di Miri Waterfront malam tadi.

Menurut Saifuddin, Taib Mahmud membolot dan menjarah kekayaan negeri itu dengan memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri bagi mengagihkan projek kepada kroni dan saudara maranya.

“Ketua Menteri, Taib Mahmud. Menteri Kewangan, Taib Mahmud. Menteri Pembangunan Sumber Negeri, Taib Mahmud. Pengerusi Land Custody and Development Agency (Pelita), Taib Mahmud.

“Bila dia nak bangunkan satu projek, Menteri Pembangunan Sumber akan bincang dengan Menteri Kewangan. Kemudian ia akan dipersetujui oleh Ketua Menteri dan diagihkan pula kepada Onn, Raziah dan Sulaiman Taib Mahmud.

“Kita mesti hentikan rompakan ini,” kata Saifuddin sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.


Turut hadir dalam ceramah tersebut ialah ketua Pemuda DAPSY, Anthony Loke, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan calon N 65 Senadin Dr Teo Yu Kheng.

Terdahulu sebelum itu, di Kampung Tunku Abd Rahman dalam DUN Lambir, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menyampaikan ceramah kelompok di hadapan 150 penduduk yang rata-ratanya terdiri dari suku Kedayan dan Iban.

Tian dalam ceramahnya menjelaskan, konteks politik pembangunan di negeri Sarawak telah disalahertikan apabila ketika kemajuan dilaksanakan, dalam masa yang sama hak peribumi dirampas.

“Sekarang adalah masanya untuk perubahan, Jika ia tidak dilakukan sekarang, maka anak cucu kita akan kembali menyalahkan kita. Mengapa masih memilih kelompok yang sama.

“Berbanding di Selangor yang mana seseorang ahli keluarga kita meninggal dunia pun, kita masih boleh mendapat bantuan. Tetapi, untuk hidup di Sarawak ini adalah satu kesukaran,”ujar Tian.

Tuesday, April 5, 2011

MANTAN KETUA AMK KEDAH DI LANTIK MENJADI AHLI DEWAN NEGARA(SENATOR)


ALOR SETAR, 5 April: Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah yang bersidang semalam telah meluluskan perlantikan Naib Pengerusi Perhubungan PKR Kedah, Saiful Izham Ramli (gambar) sebagai Ahli Dewan Negara berkuatkuasa 21 Mei nanti.

Usul pelantikan beliau telah dibawa oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak (PAS-Sungai Limau) dan disokong oleh Datuk Ir Amiruddin Hamzah (PAS-Anak Bukit) bagi menggantikan Senator Zamri Yusof apabila tempoh perlantikannya berakhir kelak.

Saiful pada sesi pemilihan parti yang baru lalu telah dipilih menerajui PKR Cabang Merbok setelah penyandang yang juga Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din tidak mempertahankan jawatannya.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-11, buat pertama kalinya beliau telah dipilih untuk bertanding menentang calon Barisan Nasional, Datuk Zainuddin Maidin di kerusi Parlimen Merbok tetapi tewas dengan majoriti 15,162 undi.

Azizan ketika mengemukakan usul tersebut turut merakamkan penghargaan rakyat di negeri itu kepada Zamri yang memberikan perkhidmatan cemerlang sepanjang tempoh memegang jawatan tersebut.

Sementara itu, Dun Kedah turut dimaklumkan tentang perlantikan semula Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Yusof Hussin bagi tempoh sepenggal lagi berkuatkusa pada tarikh yang sama.

Monday, April 4, 2011

Suriati tidak gentar tumbangkan KM Sarawak


Pemilik kedai runcit Suriati Abdullah, 50, yang kecil molek mungkin bukan seorang yang dikenali ramai tetapi mempunyai misi dan cita-cita besar.

Sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, beliau tidak gentar menghadapi nama gah dunia politik Sarawak.

"Saya akan menumbangkan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga Pengerusi Barisan Nasional negeri.

"Saya mempunyai isu-isu besar (yang mahu diketengahkan) dan orang ramai menyokong saya," dakwanya ketika ditemui selepas menerima surat perakuan sebagai calon PKR pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 daripada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Suriati berkata, keluarganya membantah pencalonannya sebagai calon tetapi suaminya menyokong keputusannya untuk bertanding pilihan raya.

Beliau mendakwa sokongan kepada PKR di peringkat akar umbi terutamanya di kalangan masyarakat Melanau, Cina dan Iban sangat memberangsangkan.

Suriati, yang juga lepasan sekolah menengah, berkata akan menjadikan isu tanah, geran hak milik tanah dan ketiadaan infrastruktur serta kemudahan awam yang baik dalam kempennya.

- Bernama

Mood rakyat Sarawak cenderung pada KEADILAN, Pakatan- Anwar


MIRI: Persiapan jentera yang mantap di setiap kawasan yang ditandingi dan disiplin ahli sepanjang tempoh berkempen merupakan asas kemenangan KEADILAN pada pilihan raya negeri 16 April ini, kata Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, jentera KEADILAN dan setiap ahli perlu bekerja lebih keras bagi merealisasi kemenangan tersebut, memandangkan rakyat Sarawak kini cenderung menyokong KEADILAN dan Pakatan Rakyat.

“Mood rakyat Sarawak kini cenderung kepada Keadilan dan Pakatan Rakyat. Justeru, apa yang perlu dilakukan oleh setiap ahli dan aktivis parti adalah meneruskan gerak kerja kempen berterusan di seluruh pelusuk kawasan.

“Koordinasi di antara parti-parti Pakatan Rakyat, iaitu Pas dan DAP akan membantu kempen Keadilan,” katanya semasa pertemuan bersama jentera parti di Hotel Talang Usang, dekat Miri, hari ini.

Turut hadir ialah tiga calon Keadilan yang bertanding bagi kawasan tersebut, iaitu Zulhaidah Suboh yang bertanding bagi kawasan Lambir, Dr Michael Teo Yu Keng (Senadin) dan Ishak Mahwi (Bekenu).

Anwar dalam rangka lawatan padat ke negeri bumi kenyalang itu bagi membantu kempen KEADILAN dan Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya negeri 16 April ini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=10662

Sunday, April 3, 2011

KEADILAN umum bertanding 47 kerusi di Sarawak


SIBU: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan bertanding di 47 buah kerusi Dewan Undangan Negeri bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ke 10, 16 April ini.

Perkara itu diumumkan pada majlis pengumuman calon dan penyerahan watikah bagi zon Sarawak Tengah dan utara yang diadakan di sebuah hotel di sini sebentar tadi.

Keadilandaily difahamkan sebanyak 4 kerusi lagi masih diperingkat rundingan oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali di Kuching.

Ketua umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KEADILAN bersama rakan Pakatan Rakyat dari Pas dan Dap akan memberikan saingan sengit kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya tersebut.

“Kita akan bersungguh-sungguh berkempen dan memberikan penerangan kepada penduduk Sarawak untuk memberikan dokongan kepada Pakatan Rakyat.

“Pilihan Raya Sarawak kali ini merupakan sejarah kerana buat pertama kalinya Barisan Nasional diberikan tentangan paling sengit,” kata anwar dalam ucapannya.

Hadir pada majlis tersebut ialah dua Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Fuziah Salleh bersama-sama Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Baru Bian.

Program yang serupa turut diadakan bagi kawasan sarawak selatan yang dikendalikan Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.

Berita lanjut menyusul

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=10555